Topik diikuti
Pergi ke BHkuPusat sehenti nilai keselamatan siber, pensijilan produk digital di NTU
Pusat sehenti nilai keselamatan siber, pensijilan produk digital di NTU
Pusat sehenti nilai keselamatan siber, pensijilan produk digital di NTU
SATU pusat sehenti yang menyediakan kemudahan menilai keselamatan siber dan pensijilan bagi peralatan digital telah dilancarkan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) semalam.
Diusahakan bersama NTU dan Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA), Pusat Bersepadu Nasional bagi Penilaian (NiCE) bernilai $19.5 juta itu menggembleng tenaga rakan industri, penyelidik akademik dan agensi pemerintah untuk penyelidikan, pemeriksaan dan penilaian keselamatan produk.
Pusat itu akan mempunyai pengkhususan dalam bidang Penilaian, Pemeriksaan dan Pensijilan (TIC) produk digital, termasuk peralatan Benda Internet (IOT), untuk memastikan mereka selamat dari segi siber, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo, semalam.
"Memandangkan cita-cita Negara Bijak kita dan penggunaan digital yang tinggi, kita boleh menjangkakan peralatan IoT di Singapura akan meningkat dengan pesat.
"Setiap alat ini boleh mengandungi beberapa kelemahan yang membolehkan penggodam mencuri data sensitif, menjejas privasi dan bahkan mengambil alih kawalan peralatan untuk melakukan serangan siber atau mendatangkan kesan fizikal," kata Cik Teo.
Alat IoT termasuk pembesar suara rumah bijak, webcam dan peralatan lain.
Terletak di Research Techno Plaza di kampus NTU, NiCE juga akan meningkatkan kapasiti industri Penilaian, Pemeriksaan dan Pensijilan untuk mengatasi keprihatinan keselamatan siber.
Pusat itu akan membangun bakat dalam bidang itu di Singapura, menerusi Sijil Lulusan dalam Penilaian Keselamatan Hadwe oleh CSA dan NTU.
Pusat tersebut juga akan membantu perniagaan menggunakan pendekatan yang menerapkan aspek keselamatan dalam membangun produk.
Sebagai pusat pertama ditubuhkan di Asia Tenggara, NiCE berpotensi menjadi hab pensijilan serantau bagi produk digital, kata Cik Teo lagi.
Seawal 2019, Singapura telah menjadi Negara Pengesahan Sijil Kriteria Bersama bagi produk keselamatan IT.
Produk yang ditauliah di makmal Singapura diiktiraf di banyak negara lain, termasuk Amerika Syarikat, Jepun, dan Indonesia.
Ini telah membolehkan perniagaan di Singapura dan di rantau ini untuk mengakses lebih banyak pasaran pada kos lebih rendah.
Pada 2020, Singapura juga melancarkan Skim Pelabelan Keselamatan Siber (CLS) untuk membantu orang awam membuat keputusan lebih baik apabila membeli peralatan bijak.
Semalam, Cik Teo juga mengumumkan inisiatif baru 'CLS Ready' yang membantu syarikat mengurangkan kos untuk mendapatkan pensijilan.
Di bawah inisiatif ini, pengilang komponen, seperti cip semikonduktor, hanya perlu mendapatkan pensijilan 'CLS Ready' sekali, tidak kira jenis peralatan yang menggunakan komponen 'CLS Ready'.
Ini bermakna setiap kali peralatan dihantar bagi penilaian, komponen 'CLS Ready' itu tidak perlu dinilai lagi.
Inisiatif tersebut akan menjimatkan masa, wang dan usaha, serta memudahkan proses melabel.
Proses penilaian yang lebih cekap dari segi kos ini akan menggalakkan perniagaan untuk mendapatkan label bagi peralatan mereka, pada tahap keyakinan lebih tinggi di bawah CLS.
"Kesimpulannya, tiada pembuat kereta hari ini akan mempertimbangkan langkah mengurangkan kos dan berkompromi terhadap ciri-ciri keselamatan asas seperti brek atau tali pinggang keledar.
"Begitu juga tiada syarikat dalam ekonomi digital harus mengurangkan kos keselamatan siber.
"Keselamatan siber kian menjadi faktor pelaris yang berbaloi, bukan sebagai beban kos, kepada perniagaan," kata Cik Teo.
Timbalan Presiden dan Provos NTU, Profesor Ling San, berkata institusi, syarikat dan agensi perlu peka dengan ancaman serangan siber yang meningkat.
"Menilai hadwe dengan sewajarnya untuk memastikan reka bentuknya menerapkan aspek keselamatan, dan bukan sebagai satu ciri tambahan semata, adalah langkah pertama dalam memastikan sistem fizikal siber selamat," kata Profesor Ling.
Pesuruhjaya Keselamatan Siber dan Ketua Eksekutif CSA, Encik David Koh, berkata usaha memastikan keselamatan teknologi baru adalah penting, sedang negara melangkah ke arah masa depan digital.
"Kerjasama antara CSA dan NTU menekankan komitmen berterusan CSA untuk bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi dan industri untuk membangun bakat tenaga manusia dalam keselamatan siber dan memupuk ekosistem keselamatan siber nasional yang menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan yang baik," kata Encik Koh.
