Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat Sumber kedua Projek Arif dilancar

Sokong pasangan dalam alam perkahwinan
May 24, 2022 | 5:30 AM
PUSAT SUMBER DI MASJID AN-NUR: Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) melancarkan Pusat Sumber oleh Projek Arif itu secara rasmi Sabtu lalu. Beliau berinteraksi bersama (dua dari kiri) Encik Firman Mohd Hanif, Cik Nazartul Shehnaz Mohammad Redzuan, Dr Nur Adila Ahmad Hatib, pekerja perubatan sosial, Cik Siti Nurzakiah Zaran dan bayi, Muhammad Ayyash Arham Muhammad Firman.
PUSAT SUMBER DI MASJID AN-NUR: Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) melancarkan Pusat Sumber oleh Projek Arif itu secara rasmi Sabtu lalu. Beliau berinteraksi bersama (dua dari kiri) Encik Firman Mohd Hanif, Cik Nazartul Shehnaz Mohammad Redzuan, Dr Nur Adila Ahmad Hatib, pekerja perubatan sosial, Cik Siti Nurzakiah Zaran dan bayi, Muhammad Ayyash Arham Muhammad Firman. -

MASJID An-Nur telah melancarkan Pusat Sumber oleh Projek Achieving Resilient and Inspiring Families (Projek Arif) secara rasmi semalam.

Projek perintis dua tahun itu telah bekerjasama dengan Yayasan Temasek, Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebagai sebahagian daripada program 'Bersamamu' dan bertujuan untuk menyokong pasangan dalam persiapan perkahwinan, membentuk keluarga yang berdaya tahan dan membina generasi yang seterusnya.

Ini merupakan Pusat Sumber kedua oleh Projek Arif selepas pembukaan Pusat Sumber yang pertama di Masjid Assyafaah pada September lalu.

Pusat Sumber ini menyasarkan untuk mengembangkan peranan masjid dalam memberikan sokongan yang lebih baik kepada pasangan Projek Arif sambil meningkatkan celik kesihatan dalam masyarakat Islam.

Antara lain, ia juga berfungsi sebagai ruang fizikal bagi pasangan dan keluarga untuk bertemu dengan karyawan penjagaan kesihatan, pekerja atau perubatan sosial atau naib kadi untuk konsultasi, nasihat dan kaunseling.

Turut menghadiri pelancaran pembukaan Pusat Sumber itu adalah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Pusat Sumber ini adalah satu perkembangan yang baik kerana ia menunjukkan bahawa selain struktur, kita dapat menyediakan ruang yang selesa bagi pasangan untuk mendapatkan sokongan dekat dengan rumah mereka ataupun sesuatu pusat yang dekat di hati, iaitu di sebuah masjid.

"Sekarang di masjid, kami menambah bilangan pakar yang dapat membantu, bukan sahaja dari segi keagamaan, bahkan dari segi sosial dan juga perubatan," ujar Dr Faishal kepada Berita Harian.

Mengendalikan kededua Pusat Sumber itu adalah pasukan 12 orang termasuk doktor, jururawat, pekerja perubatan sosial, pengurus projek dan pekerja pentadbir.

Antara doktor dalam pasukan itu adalah Konsultan Perkhidmatan Umum Pediatrik, Jabatan Pediatrik KKH, Dr Nur Adila Ahmad Hatib.

"Dengan Pusat Sumber ini, kami dapat mendekati masyarakat dan membawa kepakaran dalam kesihatan ibu dan kanak-kanak untuk membantu keluarga yang mempunyai anak.

"Di sini, kami menawarkan pendidikan penyusuan badan, sesi konsultasi dan juga sokongan perubatan.

"Namun, ini bukan konsultasi klinikal tetapi nasihat untuk mengiringi dan melengkapi konsultasi yang diterima dengan para doktor mereka tersendiri," jelas Dr Adila.

Antara pasangan yang telah memanfaatkan kelas yang dikendalikan oleh Projek Arif ialah Cik Nazartul Shehnaz Mohammad Redzuan, 29 tahun, dan suaminya Encik Firman Mohd Hanif, 30 tahun, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh bulan.

"Kami mendapati kelas yang kami hadiri amat bermanfaat kerana terdapat maklumat yang dikongsi dalam kelas yang tidak didapati dalam laman web.

"Memandangkan ini adalah anak pertama kami, kami mendapati buku panduan yang diberikan Projek Arif mengenai bimbingan kesihatan ibu dan anak, amat berguna.

"Hingga sekarang, jika ada yang kami tidak pasti, kami akan merujuk semula ke buku itu," ujar pasangan itu.

Mengulas lanjut tentang perluasan dan perkembangan projek tersebut, Dr Faishal berkata mereka kini memikirkan cara untuk meluaskan projek itu ke masjid-masjid di kawasan barat setelah bekerjasama dengan masjid-masjid di utara dan timur.

"Pusat Sumber ini adalah satu perkembangan yang baik kerana ia menunjukkan bahawa selain struktur, kita dapat menyediakan ruang yang selesa bagi pasangan untuk mendapatkan sokongan dekat dengan rumah mereka ataupun sesuatu pusat yang dekat di hati, iaitu di sebuah masjid.

Sekarang di masjid, kami menambah bilangan pakar yang dapat membantu, bukan sahaja dari segi keagamaan, bahkan dari segi sosial dan juga perubatan." - Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg