Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al Nahyan, akan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura pada 29 dan 30 Oktober atas undangan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Dalam satu kenyataan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 28 Oktober, ia merupakan lawatan rasmi yang pertama Putera Mahkota Abu Dhabi itu ke sini.
MFA menambah, beliau akan disambut dengan penuh istiadat pada 29 Oktober diikuti dengan pertemuan bersama Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.
Beberapa memorandum persefahaman (MOU) meliputi kerjasama dalam pelbagai bidang – termasuk sektor sosial, latihan dan pembangunan keupayaan pemerintah, tenaga nuklear awam serta pendidikan eksekutif – akan diumumkan semasa lawatan Putera Mahkota Sheikh Khaled.
Encik Wong juga akan menjamu beliau dalam satu majlis makan tengah hari pada 30 Oktober, jelas MFA.
Semasa lawatannya ke Singapura, Putera Mahkota Sheikh Khaled akan membuat beberapa lawatan ke beberapa tapak termasuk ke Pusat Pembuatan Semula dan Teknologi Termaju, Galeri Bandar Raya Singapura, Marina Barrage dan Gardens by the Bay.
Putera Mahkota Sheikh Khaled akan diiringi oleh delegasi beberapa pegawai peringkat menteri.
Awal dari itu, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang sebelum ini merupakan Perdana Menteri, melawat Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada Oktober 2023 dan menemui beberapa pemimpin termasuk Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, yang juga Amir Abu Dhabi; di mana beliau bertemu dengan Putera Mahkota Sheikh Khaled.
Dalam lawatan itu, Encik Lee menziarahi beberapa tempat termasuk Burj Khalifa dan Wahat Al Karama, tugu memperingati pengorbanan dan bakti wira UAE.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg