DOHA: Syarikat penerbangan Qatar Airways akan memberikan 100,000 tiket percuma kepada karyawan penjagaan kesihatan barisan hadapan sedunia sebagai tanda terima kasih atas kerja keras mereka menjaga orang semasa wabak COVID-19 ketika ini.
Dalam kenyataannya hari ini, syarikat penerbangan itu berkata, Pemberian tiket ini dibuka pada 00.01 pagi (05:01 pagi waktu Singapura) pada 12 Mei dan ditutup pada 23:59 pada 18 Mei (waktu Doha) - 4.59 pagi waktu Singapura pada 19 Mei.
Karyawan penjagaan kesihatan boleh mendaftar untuk tawaran eksklusif ini di qatarairways.com/ThankYouHeroes dengan mengemukakan borang untuk menerima kod promosi unik, yang ditawarkan berdasarkan urus niaga pertama.
Karyawan penjagaan kesihatan dari setiap negara di dunia akan layak mendapat tiket.
Untuk memastikan proses permohonan berjalan dengan adil dan telus, setiap negara akan menerima peruntukan tiket setiap hari, bergantung pada jumlah penduduknya, yang berperingkat selama tujuh hari dari 12 hingga 18 Mei.
Peruntukan harian akan dikeluarkan pada jam 00:01 pagi waktu Doha sepanjang tempoh kempen.
Karyawan penjagaan kesihatan yang menerima kod promosi boleh menempah hingga dua tiket pulang Kelas Ekonomi percuma dalam penerbangan yang dikendalikan oleh Qatar Airways - satu untuk mereka sendiri dan satu untuk rakan - ke mana sahaja di rangkaian global syarikat penerbangan.
Tiket mesti ditempah sebelum 26 November, dengan perjalanan sehingga 10 Disember 2020. Tiket adalah fleksibel sepenuhnya, dengan jumlah destinasi atau perubahan tarikh tanpa had dibenarkan tanpa sebarang bayaran.
Tambang dan bayaran tambahan akan dikecualikan untuk tiket, tetapi cukai lapangan terbang dikenakan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg