Topik diikuti
Pergi ke BHkuRahayu alu-alu inisiatif karyawan muda jadi contoh masyarakat

Rahayu alu-alu inisiatif karyawan muda jadi contoh masyarakat
SELAIN menjadi pelopor dalam industri masing-masing, golongan profesional muda Melayu/Islam mampu memainkan peranan sebagai contoh yang baik untuk para belia dengan memperkasa mereka di samping melibatkan diri dalam dialog di peringkat nasional.
Ini dinyatakan Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam, dalam satu interviu dengan Berita Harian.
Cik Rahayu berkata beliau gembira melihat golongan profesional daripada sektor yang kurang penyertaan Melayu/Islam seperti teknologi dan sains hayat, kian mengambil inisiatif untuk menubuhkan kumpulan sendiri demi mengongsi pengalaman dengan belia lain.
Antaranya termasuk kumpulan Malay Muslims in Tech (MMiT) yang merangkumi kakitangan daripada syarikat teknologi gergasi seperti Google, Meta dan TikTok.
Kata Cik Rahayu, yang juga menerajui Bidang Tumpuan Tiga (FA3) bagi memperkasa dan membimbing belia di bawah daya usaha M3: "Golongan profesional ini merupakan contoh terbaik dalam industri mereka dan dengan adanya sesi perkongsian bersama belia lain, ia dapat memberi inspirasi selain membuka mata mereka terhadap peluang yang ada dalam sektor tersebut," katanya.
Akur, anggota Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi belia, Encik Fahmi Aliman, turut menggesa agar belia mengambil bahagian dalam dialog nasional untuk mendapat pemahaman lebih jelas mengenai pelbagai keperluan dan keprihatinan daripada segmen berbeza dalam masyarakat.
"Warga muda boleh melihat dialog sebegini sebagai peluang untuk sama-sama mewujudkan dan menjadi rakan kongsi pemerintah untuk mencorak penggubalan dasar masa depan," katanya.
