Rahayu: Kuasai AI kunci wanita kembali ke pasaran kerja

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahayu: Kuasai AI kunci wanita kembali ke pasaran kerja

Gesa pemimpin sedia dasar kerja fleksibel, program bimbingan bagi karyawan wanita dalam peranan teknikal
Mar 11, 2026 | 1:29 PM

Rahayu: Kuasai AI kunci wanita kembali ke pasaran kerja

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
AI, wanita kembali bekerja, dwikecekapan, Rahayu Mahzam, Forum Semikonduktor Wanita 2026
Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam berkongsi kelebihan kecerdasan buatan (AI) di Forum Semikonduktor Wanita 2026 di Hotel Grand Copthorne Waterfront pada 11 Mac. - Foto ST

Menguasai dwikecekapan dalam kecerdasan buatan (AI) dan bidang profesional adalah kunci untuk kekal relevan apabila kembali bekerja setelah mengambil cuti kerjaya, kata Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.

Beliau mengakui AI membuka ruang bagi mereka yang ingin kembali memasuki pasaran kerja untuk mengikuti perkembangan terkini dan terus meningkatkan diri.

Namun, beliau menggesa pemimpin agar menyediakan dasar kerja fleksibel dan program bimbingan yang direka khusus untuk menarik dan mengekalkan, terutamanya wanita dalam peranan teknikal.

“Ada (pekerja) yang mungkin memerlukan aturan kerja fleksibel atau secara separuh masa.

“Saya menggalakkan para pemimpin untuk mengamalkan pendekatan yang menyokong serta memupuk tempat kerja yang inklusif.

“Satu lagi bidang di mana pekerja mungkin memerlukan sokongan ialah bimbingan.

“Tinjauan sejagat dan perbualan dengan masyarakat menunjukkan bahawa kurang daripada separuh organisasi menawarkan program bimbingan yang berstruktur, penajaan, atau program khusus yang direka untuk menarik dan mengekalkan, khususnya wanita dalam peranan teknikal,” kata Cik Rahayu.

Berucap di Forum Semikonduktor Wanita 2026 di Hotel Grand Copthorne Waterfront pada 11 Mac, Cik Rahayu berkata kajian menunjukkan wanita lebih cenderung mengambil cuti kerjaya berbanding lelaki.

Menurutnya, satu analisis mendapati wanita mengambil cuti kerjaya 43 peratus kali lebih banyak berbanding lelaki.

Selain itu, laporan berasingan dari rantau Oceania pula menunjukkan lebih daripada 60 peratus wanita dari rantau itu pernah mengambil cuti kerjaya pada satu ketika dalam kehidupan mereka, tambah beliau.

Justeru, adalah penting untuk menyokong wanita kerana sebahagian besar daripada pekerja dalam bidang semikonduktor adalah wanita.

Semikonduktor merupakan asas kepada kuasa pengkomputeran dalam era AI, kata Cik Rahayu, yang menambah Singapura mempunyai peranan penting dalam rantai bekalan AI sejagat.

“Kira-kira satu daripada setiap 10 cip dan satu perlima peralatan pembuatan semikonduktor dihasilkan di sini setiap tahun.

“Di peringkat domestik, industri semikonduktor kekal penting kerana ia menyediakan pekerjaan dan peluang yang bernilai.

“Secara keseluruhan, sektor elektronik menyumbang hampir 6 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara dan menggaji lebih daripada 35,000 orang,” ujarnya.

Oleh itu, pemerintah menyasarkan untuk menyokong seramai 100,000 pekerja untuk menguasai dwikecekapan dalam AI agar mereka dapat menjadi perintis dan peneraju dalam penggunaan AI secara bermakna.

Sasaran ini turut disebut semasa perbahasan Perbahasan Jawatan Perbekalan (COS) Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) oleh Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.

Ketika perbahasan tersebut pada 2 Mac, Cik Teo berkata sekitar 100,000 pekerja bakal menjalani latihan kecekapan dalam AI di bawah inisiatif Dwikecekapan AI sempena pelancaran Program Impak AI Nasional (NAIIP) yang baru.

Ini akan dilaksanakan melalui memperkasakan kefasihan penggunaan AI dan penerapannya kepada bidang kerja, di samping menyokong 10,000 perusahaan untuk membantu perniagaan menyepadukan proses bisnes dengan AI selama tiga tahun seterusnya.

NAIIP akan disokong dengan inisiatif oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk meningkatkan celik AI bagi tenaga kerja Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg