Matematik dan pengkomputeran mungkin dianggap subjek gerun buat sesetengah orang tetapi bukan untuk Encik Dhanish Musharraf Ubaidali, yang meminati sejak usia muda.
Minatnya dalam matematik mula berputik sejak di bangku sekolah rendah dan kemudian mekar semasa menuntut di Sekolah Tinggi NUS.
Di situlah, beliau mengambil subjek pengkomputeran dan meneroka kaedah untuk menggabungkan kedua-dua bidang tersebut.
“Semasa saya sedang memilih universiti, saya meneliti kursus yang menggabungkan kedua-dua mata pelajaran Matematik dan Pengkomputeran.
“Saya dapati bahawa terdapat beberapa universiti yang menawarkan program ijazah berganda dalam pengkomputeran, baik di Universiti Nasional Singapura (NUS) mahupun di luar negara.
“Di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), saya dapat tahu tentang program Sains Data dan Kecerdasan Buatan (AI) dan pada 2018, AI merupakan bidang yang sedang berkembang pesat,” kongsi Encik Dhanish, 25 tahun.
Ternyata, rasa ingin tahu mendorong anak sulung dua beradik itu untuk melanjutkan pengajian dalam ijazah Sarjana Muda Pengkomputeran dalam Sains Data dan AI di NTU pada 2021.
Tekadnya untuk menimba ilmu terserlah apabila beliau menghadiri kuliah secara konsisten, memanfaatkan peluang untuk berinteraksi dengan pensyarah dan mendalami pemahamannya.
Sungguhpun mempunyai pilihan untuk menonton rakaman kuliah sebagai rujukan, Encik Dhanish lebih cenderung menghadiri kuliah secara langsung agar dapat bertanya soalan dan mendapatkan penerangan lanjut daripada pensyarah.
Selain itu, Encik Dhanish melibatkan diri dalam kelab kendalian pelajar seperti Kelab Khidmat Kebajikan NTU sebagai Pengarah Acara dan Operasi, serta menggalas peranan sebagai Pengawal Kewangan.
“Selain memberi tumpuan kepada akademik, saya juga perlu berusaha untuk membangunkan diri sebagai seorang individu yang serba boleh. Oleh itu, saya keluar daripada zon selesa untuk menyertai kelab tersebut.
“Pengalaman sebegini memberi warna dan makna kepada kehidupan universiti saya,” ujar beliau, yang pernah menetap di salah satu asrama NTU.
Segala usaha itu membuahkan hasil apabila beliau tamat pengajian pada 2025 dengan Kepujian (Kecemerlangan Tertinggi) bagi program Sarjana Muda yang diikutinya, dan mencapai Gred Mata Purata (GPA) 4.87 mata selain meraih Pingat Emas Lee Kuan Yew.
Hasil kecemerlangannya dalam bidang akademik, pencapaiannya diiktiraf di majlis penyampaian Anugerah Mendaki 2025 pada 11 Oktober apabila beliau diberikan salah satu anugerah unggul Mendaki, iaitu Anugerah Cemerlang Mendaki, dan Anugerah Pencapaian Akademik.
Anugerah Cemerlang Mendaki diberikan kepada lulusan kepujian kelas pertama manakala Anugerah Pencapaian Akademik mengiktiraf pelajar yang menduduki tempat teratas dalam kursus pengajian masing-masing.
Encik Dhanish kini bekerja sebagai seorang penganalisis teknologi di sebuah firma perundingan teknologi yang berasaskan automasi SimplifyNext.
Mengulas lebih lanjut tentang perjalanannya ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Encik Dhanish menekankan bahawa kemajuan sebenar bermula dengan memupuk minat mendalam terhadap pembelajaran.
Bagaimanapun, beliau akui terdapat kekurangan perwakilan Melayu/Islam dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).
“Bagi saya, ramai kanak-kanak mungkin tidak menyedari kepentingan pendidikan pada peringkat awal kerana mereka mungkin kurang didorong atau diberi bimbingan.
“Apabila minat dan keyakinan mula terbit, ia akan menjadi faktor pendorong semula jadi untuk terus maju tanpa perlu tekanan luaran,” kongsi beliau.
Dalam pada itu, Encik Dhanish berkata terdapat pelbagai laluan untuk menuju kejayaan.
Malah, terdapat ramai individu cemerlang dari bidang lain yang telah menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara.
“Saya tidak mahu memberi gambaran seolah-olah kejayaan hanya dapat dicapai jika seseorang menceburi bidang Stem.
“Tidak kiralah sama ada seseorang itu berjaya dalam bidang Stem, seni atau mana-mana bidang sekalipun.
“Apa yang penting ialah kita mempunyai lebih ramai anak muda yang belajar bersungguh-sungguh, berjaya dalam bidang masing-masing, dan mampu mengharumkan nama masyarakat kita,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg