PENDIDIKAN tidak kenal usia, sama ada seseorang itu berada di peringkat prasekolah, sedang membuat persediaan bagi kerjayanya atau sudah bekerja lama dan mahu kekal relevan dalam industri.
Konsep kepentingan pendidikan sepanjang hayat inilah yang ingin ditekankan kepada semua lapisan masyarakat Melayu/Islam sempena kempen Raikan Ilmu Mendaki tahun ini.
Menjelaskan demikian dalam sidang media dalam talian semalam, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Mendaki, berkata saban tahun, acara Raikan Ilmu telah berubah.
Temanya telah menjangkaui pendidikan di dalam bilik darjah sahaja.
"Jika anda lihat program yang kita adakan, pameran kerjaya dalam talian misalnya, ini semua cara kita menyampaikan tentang peningkatan kemahiran berdasarkan apa yang diperlukan ekonomi dan pekerjaan yang terdapat di luar sana.
"Pendidikan kini bukan setakat pendidikan dalam bilik darjah... sekarang dengan pembelajaran sepanjang hayat... ia adalah tentang bagaimana untuk kekal relevan juga," ujar Encik Zaqy.
Bertemakan Cintakan Ilmu, Perkukuhkan Daya Tahan, kempen Raikan Ilmu tahun ini akan diadakan sepanjang bulan depan, dengan tujuan mewujudkan keinginan dalam masyarakat Melayu/ Islam di sini untuk mendakap pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya kita.
Ia juga bermatlamat mengajak masyarakat menimba ilmu sebagai kunci utama memperkukuh daya tahan seseorang.
Namun, dek pandemik Covid-19 yang menghalang rancangan untuk mengadakan acara secara fizikal, Raikan Ilmu kali ini akan dianjurkan secara vitual.
"Meskipun kita tidak boleh adakan acara ini secara fizikal, kita masih boleh mendekati masyarakat secara langsung di rumah mereka dan meluaskan matlamat kami melebihi 30,000 peserta tahun lalu," kata Cik Zuraidah Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki.
Seramai 40,000 peserta dijangka mengambil bahagian tahun ini, naik daripada 30,000 peserta tahun lalu.
Antara inisiatif baru yang akan diadakan kali ini termasuk laman web khusus Raikan Ilmu yang akan berfungsi sebagai titik sentuh digital utama bagi para peserta meneroka dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti pembelajaran yang dianjurkan oleh Yayasan Mendaki dan rakan kongsi lain sepanjang bulan.
Satu siri televisyen empat episod, LNS Kafe, juga akan disiarkan di saluran Suria pada setiap Jumaat dari 9 hingga 30 Oktober untuk menyebarkan mesej Raikan Ilmu.
Sebuah kotak Raikan Ilmu juga akan diberikan kepada orang ramai yang mendaftar. Kotak itu mengandungi antara lain set aktiviti termasuk buku mewarna, kad aktiviti mainan Bingo dan magnet penanda buku.
Mereka yang mahu mendapatkan kotak tersebut boleh melahirkan minat menerusi www.tinyurl.com/RaikanIlmu2020 sehingga 18 September ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg