THAILAND: Raja Thailand memberitahu keluarga yang terjejas dengan kejadian tembakan baru-baru ini bahawa beliau "berkongsi kesedihan" mereka dalam satu pertemuan awam yang jarang diadakan menyusuli insiden tersebut di mana lebih 30 orang terkorban. Raja Maha Vajiralongkorn bertemu mangsa yang terselamat dan juga keluarga yang terjejas di hospital yang terletak di wilayah Nong Bua Lamphu semalam, sehari selepas seorang bekas pegawai polis melakukan serangan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah timur laut Thailand di mana 24 kanak-kanak dan 12 orang dewasa terkorban. Upacara pengebumian dijangka dilaksanakan pada Sabtu (8 Oktober), memulakan tiga hari berkabung untuk mangsa kejadian yang merupakan antara kes pembunuhan beramai-ramai yang paling teruk di negara tersebut. Semasa raja menawarkan bantuan dan ucapan takziah, keluarga mangsa melutut di lantai hospital- menepati adat Thai semasa berdepan dengan raja, yang dianggap sebagai berada di tahap dewa. "Saya datang ke sini untuk memberi sokongan kepada anda. Saya amat sedih dengan apa yang telah berlaku. Saya berkongsi kekecewaan dan kesedihan anda," katanya dalam rakaman video yang dimuatnaik dalam talian. "Tiada kata yang dapat meluahkan kesedihan ini. Saya ingin memberi sokongan kepada anda semua dan saya berharap anda kuat, supaya roh anak-anak anda juga tenang," tambahnya. Lawatan diraja itu berlangsung di tapak pusat tadika berdinding kuning yang terletak di pinggir kampung di daerah Na Klang, sekitar 500 kilometer utara Bangkok. Ibu bapa mangsa telah meletakkan bunga ros putih di tangga pusat tadika itu di mana nyawa anak-anak kecil mereka dipotong pendek secara kejam petang Khamis oleh bekas sarjan polis, Panya Kamrab. Perdana Menteri Encik Prayut Chan-O-Cha menyertai mereka yang berkabung kelmarin, meletakkan bunga serta menyerahkan cek pampasan kepada keluarga yang terjejas. Ramai yang masih tidak dapat menerima kejadian tersebut dan ada yang menangis tanpa henti sambil menggenggam mainan atau selimut kegemaran anak-anak mereka. Ada juga yang tidak dapat menahan hiba sambil memegang botol susu separuh penuh anak kecil yang terkorban.f Antara yang terkorban juga termasuk guru, Cik Supaporn Pramongmuk, yang sedang hamil. Suaminya, Encik Seksan Srirach, telah menyiarkan pos penghormatan di Facebook: "Saya ingin mengucapkan terima kasih terhadap semua sokongan yang telah diberikan kepada kami sekeluarga. "Isteri saya telah menunaikan tugas sepenuhnya sebagai seorang guru. Jadilah guru di syurga dan anakku, jagalah ibu di sana." Penyerang telah menyerbu masuk pusat jagaan kanak-kanak itu sekitar 12.30 tengah hari waktu tempatan Khamis lalu dan mula menembak dan menetak dengan pisau. Lelaki itu kemudian pulang ke rumah dan membunuh isteri dan anaknya sebelum membunuh diri, menurut polis. Secara keseluruhan, beliau membunuh 24 kanak-kanak dan 12 orang dewasa. Ramai yang terkorban akibat gabungan luka tikaman pisau dan juga tembakan, menurut siasatan polis. -Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg