Topik diikuti
Pergi ke BHkuRakan digital di 15 cawangan Kopitiam bantu pelanggan tukar dari kad ke aplikasi
Rakan digital di 15 cawangan Kopitiam bantu pelanggan tukar dari kad ke aplikasi
LEBIH 80 rakan digital akan ditempatkan di 15 cawangan Kopitiam yang mempunyai jumlah tinggi pelanggan dari Mac hingga Jun untuk membantu pelanggan beralih daripada kad Kopitiam kepada aplikasi FairPrice.
Rakan digital yang merupakan pekerja atau kakitangan sementara FairPrice itu akan ditempatkan di cawangan serata Singapura - termasuk Jurong Point, Tampines Mall, Lau Pa Sat dan Northpoint City.
Ia bertujuan membantu pelanggan Kopitiam, terutama warga emas, memuat turun aplikasi FairPrice dan mula menebus mata LinkPoints bagi mengimbangi pembelian Kopitiam mereka.
FairPrice Group, yang ditubuhkan pada 2019, terdiri daripada empat perusahaan sosial - FairPrice, FoodFare, Kopitiam dan NTUC Link.
Pada awal Februari, FairPrice mengumumkan kad fizikal Kopitiam - kad nilai yang boleh digunakan untuk membayar bagi makanan di cawangan rangkaian itu - akan dihentikan mulai 30 Jun.
Pelanggan perlu membayar bagi makanan mereka menggunakan aplikasi FairPrice, yang dihubungkan dengan kad kredit atau debit, untuk terus menikmati diskaun 10 peratus yang diberi oleh kad itu.
Menurut Fairprice Group dalam satu kenyataan pada Isnin, tokokan bagi kad fizikal Kopitiam juga akan berakhir pada 1 Mac.
Justeru, pemegang kad Kopitiam mempunyai empat bulan, hingga 30 Jun, untuk menggunakan baki nilai dalam kad mereka di cawangan Kopitiam.
Mereka juga boleh memindahkan baki nilai dalam kad Kopitiam mereka ke aplikasi FairPrice dalam bentuk LinkPoints.
Ini boleh dilakukan di mana-mana cawangan Kopitiam melalui kios tokokan layan diri.
Semua 15 cawangan yang mempuyai rakan digital juga akan mempunyai reruai khas bagi memudahkan pulangan balik wang tunai bagi mereka yang ingin mendapatkan nilai tunai daripada kad Kopitiam mereka.
Sejak pengumuman itu, reaksi warga emas yang bergantung pada kad fizikal itu bercampur-campur, dengan ada daripada mereka meminta langkah itu dibatalkan dan penggunaan kad Kopitiam fizikal dikekalkan.
Namun, ada yang menyatakan peralihan daripada penggunaan kad fizikal kepada aplikasi itu dapat dilakukan mereka dengan mudah.
Bagi memudahkan pemindahan ke aplikasi itu dan membantu pelanggan, rakan digital akan berada di 15 cawangan Kopitiam pada Mac dan Jun, dari 12 tengah hari hingga 8 malam, dari Isnin hingga Jumaat, dan 10 pagi hingga 8 malam pada hujung minggu.
Pada April dan Mei, mereka akan berada di cawangan-cawangan itu pada Jumaat sahaja, dari 12 tengah hari hingga 8 malam, dan pada hujung minggu dari 10 pagi hingga 8 malam.
Pengurus di semua 72 cawangan Kopitiam di pusat beli-belah, bangunan pejabat dan estet perumahan juga telah dilatih untuk membantu warga emas dan menangani pertanyaan dan keprihatinan pengunjung, kata FairPrice Group.
Selain itu, poster dan risalah dwibahasa dengan panduan langkah demi langkah mengenai cara memuat turun dan menggunakan aplikasi FairPrice akan disediakan di serata cawangan.
Risalah itu disediakan dalam keempat-empat bahasa kebangsaan.
Cawangan Kopitiam terpilih juga akan memainkan video arahan cara pelanggan boleh memuat turun dan menggunakan aplikasi FairPrice.
Bagi warga emas yang mungkin tidak dapat menggunakan aplikasi itu, aturan khas telah dibuat untuk mereka menunjukkan Kad Generasi Perintis atau Kad Generasi Merdeka mereka di cawangan Kopitiam untuk mendapatkan diskaun 10 peratus.
Mereka yang berada di bawah skim bantuan ComCare yang tidak mempunyai kad debit atau kredit boleh menunjukkan kad bantuan awam atau kad Geran Khas ComCare mereka untuk mendapatkan diskaun yang sama.