Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat S’pura ke Eropah tidak perlu permit baru hingga 2025

Oct 26, 2023 | 6:37 PM
TIDAK PERLU PERMIT BARU: Rakyat Singapura yang berkunjung ke Eropah tidak perlu memohon permit baru hingga 2025.
TIDAK PERLU PERMIT BARU: Rakyat Singapura yang berkunjung ke Eropah tidak perlu memohon permit baru hingga 2025. - Foto fail

Rakyat Singapura yang berkunjung ke Eropah tidak perlu memohon dokumen atau permit baru sehingga 2025 kerana Kesatuan Eropah (EU) telah menangguhkan tarikh pelancaran permit itu.

Permit yang digelar Sistem Maklumat dan Kebenaran Perjalanan Eropah (Etias) itu mengikuti model Amerika Syarikat.

Di Amerika, dokumen itu digelar Sistem Elektronik bagi Kebenaran Perjalanan Amerika Syarikat.

Inisiatif tersebut melibatkan saringan awal terhadap pengunjung bukan EU, yang kini memasuki Eropah tanpa visa, dan bertujuan mengurangkan risiko keselamatan.

Pengunjung berusia 18 hingga 70 tahun perlu membayar 7 euro ($10) untuk dokumen tersebut. Ia diberi percuma untuk mereka di luar lingkungan umur ini, lapor The Straits Times (ST).

Julai lalu, ST melaporkan bahawa peraturan baru itu akan berkuatkuasa mulai 2024.

Bagaimanapun, EU telah mengesahkan bahawa tarikh pelancaran Etias akan ditangguhkan sehingga musim bunga 2025, disebabkan pelbagai isu daripada kekangan sumber hingga ke masalah penyepaduan data.

Majlis Kesatuan Eropah berkata Sistem Masuk/Keluar EU, yang mengesan pergerakan pengunjung bukan EU, juga perlu beroperasi terlebih dahulu sebelum Etias dapat dilaksanakan, lapor SchengenVisaInfo.com.

30 negara di Eropah memerlukan pengunjung untuk memohon dokumen Etias mulai 2025.

Kini terdapat 27 negara di Kawasan Schengen, termasuk Belgium, Iceland dan Belanda yang akan melaksanakan permit perjalanan Etias untuk pengunjung.

Britain tidak termasuk dalam peraturan baru itu.

Tiga negara bukan Schengen – Bulgaria, Cyprus dan Romania –juga dijangka melaksanakan Etias.

Menurut laman web etias.com, mulai 2025, rakyat Singapura perlu membuat permohonan dokumen Etias sebelum menaiki pesawat, kapal atau bas untuk berkunjung ke Eropah.

Ini termasuk pengunjung yang hanya singgah di Eropah dalam perjalanan ke destinasi lain, tambahnya.

Selain warga Singapura, warga 58 negara dan wilayah lain termasuk Malaysia, Australia, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Canada juga perlu memohon dokumen Etias, yang sah selama tiga tahun.

Pemohon akan dimaklumkan dalam masa 96 jam selepas membuat permohonan, sama ada permohonan mereka diluluskan atau ditolak, atau jika ia memerlukan pemprosesan manual.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg