Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat S'pura pamer sifat murah hati bantu mangsa gempa Turkey, Syria

Feb 12, 2023 | 5:30 AM
BERTALI ARUS: Para sukarelawan termasuk wakil dari syarikat penerbangan Turkish Airlines dan Singapore Airlines membantu menerima dan mengatur barangan yang diderma orang ramai bagi mangsa gempa Syria dan Turkey di sebuah pusat menderma di sini. - Foto ST
BERTALI ARUS: Para sukarelawan termasuk wakil dari syarikat penerbangan Turkish Airlines dan Singapore Airlines membantu menerima dan mengatur barangan yang diderma orang ramai bagi mangsa gempa Syria dan Turkey di sebuah pusat menderma di sini. - Foto ST -

RAKYAT Singapura terus menunjukkan keprihatinan serta rasa simpati mereka terhadap mangsa yang terjejas dek bencana gempa bumi yang melanda Turkey dan Syria awal Isnin lalu.

Mereka membuat sumbangan kepada pertubuhan tempatan yang giat menjalankan usaha pengumpulan dana agar dapat menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa. Antaranya termasuk Pertubuhan kemanusiaan Mercy Relief dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), yang mengadakan pungutan derma di masjid serata Singapura melalui tabung amal khas.

Beberapa perusahaan serta badan agama setempat turut mengambil kesempatan ini untuk membantu dan menghulurkan bantuan dengan menganjurkan acara mengutip dana serta pengumpulan barangan keperluan asas bagi mereka yang terselamat dari bencana alam itu.

Sumbangan yang dikumpul itu kemudiannya akan disalurkan kepada pertubuhan dan badan kemanusiaan di kededua negara yang terjejas.

Berkongsi tentang usaha pungutan dana yang sedang dijalankan, Presiden, Vision 21 Welfare Society, Encik Muhammed Zacree Mohd Zain, berkata:

"Kami sedang bekerjasama dengan wakil kami dari Turkey yang kini berada di Singapura. Dana yang dikumpul akan digunakan untuk membeli keperluan asas seperti selimut, khemah, baju sejuk serta makanan. Kami juga sedang bekerjasama dengan penyedia logistik yang diberi kuasa untuk mengatur penghantaran keperluan ini ke kawasan yang terjejas."

Vision Twenty One Welfare Society, dengan kerjasama ejen pelancongan setempat, TravelConnect.sg serta syarikat pengurusan acara, MakBesar telah mengadakan kutipan dana sepanjang acara MakBesar PowerHouse Market: Chinta Edition, yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura pada hujung minggu ini.

Angka kematian yang disebabkan gempa bumi berukuran 7.8 magnitud itu kian meningkat dengan seramai lebih 24,000.

Operasi menyelamat kini hampir memasuki tempoh seminggu dan usaha mencari masih giat dijalankan dengan bantuan beberapa negara yang telah mengerahkan pasukan penyelamat masing-masing.

Usaha mencari dan menyelamat mangsa berdepan cabaran akibat cuaca musim sejuk yang membeku, sedang ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan.

Cabaran tersebut telah disaksikan sendiri oleh Encik Mouzzammil P.M, Pengarah Operasi, SGQurban.Org. Beliau telah membuat lawatan ke tempat terjejas seperti ke wilayah Hatay di Turkey baru-baru ini.

Encik Mouzzammil berkata beliau juga sempat bertemu dengan mayor kawasan tersebut yang mengongsi bahawa terdapat keperluan mendesak untuk pakaian musim sejuk, kasut, serta alat pemanas.

"Cabaran besar sekarang di sini merupakan keadaan cuaca yang amat sejuk, dengan suhu mencecah di bawah sifar.

"Bantuan utama pada masa ini adalah untuk menyediakan sumber pemanasan untuk mereka yang kehilangan tempat tinggal, seperti alat pemanas luar berkuasa gas, di mana mereka boleh berteduh pada waktu malam," katanya

Tragedi ini turut mendapat perhatian dan simpati dari masyarakat Singapura yang bukan beragama Islam.

Gereja Bethesda (Bedok-Tampines) telah berganding dengan Relief Singapore (RSG) untuk menjalankan inisiatif mengumpul bekalan perubatan bagi mangsa gempa di Turkey dan Syria.

"Usaha yang kami jalankan agak berbeza berbanding yang dilakukan organisasi lain dan oleh Kedutaan Turkey kerana kami memberi tumpuan kepada bekalan perubatan. Ini termasuk ubat tahan sakit seperti paracetamol; susu formula bayi, botol dan lampin; bekalan bantuan kecemasan; dan bekalan perubatan lain seperti termometer digital dan tuala wanita," kata Timbalan Paderi Kanan Edric Sng.

Kutipan sumbangan bermula semalam dan berakhir hari ini. Mereka yang ingin menderma boleh menghantar bekalan perubatan ke Gereja Bethesda (Bedok-Tampines) yang terletak di Bedok North.

"Walaupun kami amat berdukacita dengan tragedi itu, kami telah melihat bagaimana masa terburuk menghasilkan yang terbaik dalam diri seseorang, dengan rakyat Singapura tampil beramai-ramai untuk menderma dan menjadi sukarelawan.

"Persamaan kita adalah sifat peri kemanusiaan kita - apabila satu negara terluka, kita semua terluka. Tetapi kita semua boleh membantu untuk menyembuhkan kesakitan itu," ujar Paderi Sng lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg