SEDANG masyarakat Islam di Singapura menunaikan ibadah puasa di Singapura, Ramadan juga masa mengenang nasib umat Islam yang berada di tempat-tempat yang mengalami persengketaan politik, ataupun yang sedang menghadapi kegentingan ekonomi.

Menjelaskan demikian di pos Facebook pada Sabtu (2 April), Presiden Halimah Yacob menyifatkan puasa sebagai ujian yang amat besar buat mereka yang dilanda sengketa politik dan kemelut ekonomi ini.

"Kita mendoakan agar dipermudahkan urusan dan ibadah mereka. Kita juga mendoakan agar keamanan kembali ke tempat-tempat yang bertengkarah dan supaya penderitaan tidak terperi yang dihadapi orang-orang tidak bersalah dihentikan," jelasnya di ambang sambutan 1 Ramadan pada Ahad.

"Kita akan bersahur untuk memulakan puasa dari masa terbit fajar hingga terbenam matahari pada waktu maghrib. Berpuasa bukan sahaja suatu manifestasi keimanan kita tetapi juga tanda perpaduan bersama mereka yang tidak mampu menikmati tiga hidangan sehari.

"Ketika berpuasa, kita digalakkan mengerjakan solat dan memperbanyak amal soleh. Ramadan juga merupakan masa untuk mengeratkan tali silaturahim dan ukhuwah dengan keluarga serta rakan. Bulan ini diisi renungan dan tafakur," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Puan Halimah memuji masyarakat Islam di Singapura kerana sabar mematuhi langkah pengurusan selamat setelah dua tahun lamanya sekatan dikenakan pada amalan ibadah kerana Covid-19.

Ini termasuk pengenaan had pada bilangan jemaah untuk solat Jumaat.

"Ribuan terima kasih kerana memastikan keselamatan umum dan mencegah penularan Covid-19.

"Dengan situasi yang bertambah baik, sekatan di masjid-masjid telah dilonggarkan dan kita juga boleh berbuka puasa dengan lebih ramai anggota keluarga. Saya pasti Ramadan tahun ini akan lebih meriah...

"Meskipun langkah-langkah pengurusan selamat sudah dilonggarkan, saya menggesa semua rakyat Singapura untuk meneruskan sikap berwaspada untuk melindungi orang tersayang daripada Covid-19.

"Saya ucapkan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam. Salam Ramadan." kata Puan Halimah.