Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ramadan tak halang warga 71 tahun terus hidup sihat

Aktivis MAEC peserta tertua acara berbasikal anjuran M³ di Pasir Ris-Punggol
Apr 20, 2022 | 5:30 AM
KAYUH TERUS: Setelah solat isyak dan tarawih, Encik Mohamed Yusoff terus turun trek Ramadan Ridedengan memakai baju Melayu (atas). Sebelum acara bermula, Encik Sharael Taha dan Encik Mohamed Yusoff memberi kata-kata perangsang kepada peserta. - Foto-foto FACEBOOK SHARAEL TAHA
KAYUH TERUS: Setelah solat isyak dan tarawih, Encik Mohamed Yusoff terus turun trek Ramadan Ridedengan memakai baju Melayu (atas). Sebelum acara bermula, Encik Sharael Taha dan Encik Mohamed Yusoff memberi kata-kata perangsang kepada peserta. - Foto-foto FACEBOOK SHARAEL TAHA -

AMALKAN gaya hidup sihat walaupun dalam bulan Ramadan.

Itulah prinsip yang dipegang Encik Mohamed Yusoff Mohamed Tan, 71 tahun, peserta paling tua sebuah acara menunggang basikal, Ramadan Ride, Sabtu malam lalu.

Lebih 170 penunggang berbilang bangsa menyertai acara itu, yang julung kalinya dianjurkan M Kuasa Tiga (M³) di Pasir Ris-Punggol dan disokong pusat sukan ActiveSG Pasir Ris.

Ia dilancarkan oleh Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha, di tempat letak kereta A Pasir Ris Park pada sekitar 10 malam.

Peserta menunggang basikal sekitar 30 kilometer dari Pasir Ris ke Punggol sebelum berakhir di pusat sukan ActiveSG Pasir Ris, di mana mereka disambut oleh para pegawai daripada ActiveSG dan dengan lagu-lagu Hari Raya.

Setelah menunaikan solat isyak dan tarawih di Masjid Al-Istighfar, Encik Mohamed Yusoff terus menyertai acara itu - dengan memakai baju Melayunya.

Beliau memang gemar menunggang basikal sejak dahulu dan acara itu memberinya peluang bersenam dan sekali gus beramah-tamah bersama peserta lain.

Ini kali pertama Encik Mohamed Yusoff berbasikal bersama satu kumpulan besar sejauh 30 kilometer, yang memakan masa lebih kurang dua jam.

Sebelum bersara, mantan pegawai perkhidmatan awam itu pernah beberapa kali berbasikal dari rumahnya di Pasir Ris ke Maxwell Road di Tanjong Pagar untuk ke tempat kerjanya di bangunan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Beliau, yang giat bersama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Pasir Ris Elias, percaya mengamalkan gaya hidup sihat amat penting walaupun semasa berpuasa.

"Gaya hidup sihat seharusnya sentiasa ada pada diri kita dan menjadi tabiat harian.

"Walaupun kita berpuasa pada siang hari, ia tidak sepatutnya menghalang kita melakukan senaman pada waktu malam, kerana ia akan membuat kita lebih segar dan sihat pada siang hari," ujarnya, yang kini bekerja sambilan sebagai pegawai keselamatan dan berbasikal dari rumahnya di Pasir Ris Drive 10 hingga ke tempat kerjanya di Loyang Drive setiap hari.

Sementara itu, Encik Sharael berkata Ramadan Ride dianjurkan untuk mengeratkan silatulrahim antara jiran tetangga berbilang bangsa dan agama serta penduduk kawasan Pasir Ris-Punggol GRC.

"Selepas dua tahun yang panjang, saya berasa hebat dapat melihat masyarakat kita akhirnya boleh berkumpul semula secara fizikal untuk bersama-sama mengamalkan gaya hidup sihat.

"Saya harap acara Ramadan Ride ini akan menjadi satu acara tahunan dan dikembangkan bagi seluruh Singapura," kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg