HUJUNG minggu pertama Ramadan melihat ramai yang memeriahkan suasana dengan membeli-belah di bazar serata Singapura serta berbuka puasa di luar, meskipun hujan lebat pada sebelah petang Sabtu mungkin menghambat sesetengah orang yang lain.
Tinjauan Berita Minggu (BM) ke bazar di Geylang Serai pada petang Sabtu menunjukkan masih terdapat ramai pengunjung, walaupun keadaannya tidak begitu sesak.
Ada yang datang membeli makanan untuk berbuka manakala ada pula yang sedang mencari barangan keperluan Hari Raya seperti baju.
Antara pengunjung ke bazar di Wisma Geylang Serai pada hujung minggu ialah Cik Nur Hafizah Roslan, 28 tahun, yang datang bersama keluarganya.
Menurutnya, keadaannya tidak begitu sesak memandangkan beliau masih mempunyai ruang untuk menolak pram bayinya di bazar tersebut.
"Mungkin belum ramai hingga sesak kerana masih lagi baru minggu pertama Ramadan," ujarnya.
Sejak pembukaan Bazar Raya Geylang Serai pada 17 Mac, lebih 200,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat telah datang untuk menikmati pelbagai juadah dan membeli-belah, menurut kenyataan oleh Wisma Geylang Serai (WGS) pada Jumaat.
Sejauh ini, lebih 95 peratus gerai makanan dan minuman (F&B) dan lebih 80 peratus gerai runcit seperti jualan baju kurung dan tikar telah disewakan.
Orang ramai juga mula membanjiri restoran seawal Jumaat untuk menikmati juadah berbuka puasa bersama keluarga dan rakan.
Restoran yang menjual sajian Italy, Positano Risto, yang terletak di 66 Bussorah Street, sesak dengan pelanggan semasa iftar pada Jumaat.
Pemilik bersama restoran itu, Encik Muhammad Ishak Ahmad, berkata pihaknya telah menerima tempahan untuk hujung minggu pertama Ramadan seawal dua minggu lalu.
"Alhamdulillah, hujung minggu ini, kami menerima tempahan penuh untuk iftar dan kami terus mengalu-alukan lebih ramai pelanggan untuk minggu-minggu yang akan datang," ujar Encik Ishak kepada BM.
Meskipun waktu malam dan hujung minggu sibuk dengan pelanggan, beliau akur jualan pada waktu siang agak terjejas.
Justeru, restoran itu telah menyesuaikan perniagaan dan menawarkan promosi serendah $10 pada siang hari bagi pelanggan membawa pulang juadah untuk dinikmati di rumah.
Bagi restoran makanan Maghribi, La Fez Bakery & Cafe, di East Coast Road pula tetap menerima kumpulan pelanggan yang agak besar.
Pemilik dan pengasas restoran itu, Encik Heikal Gani, berkata kepada BM:
"Seringkali minggu pertama bulan puasa kurang sibuk bagi restoran. Kami juga masih cuba memahami trend pelanggan tahun ini memandangkan sempadan sudah dibuka dan terdapat beberapa bazar yang dianjurkan di beberapa tempat. Ini adalah antara persaingan dan cabaran kami pada tahun ini."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg