LEBIH dua dalam tiga pekerja penjagaan kesihatan berkata, mereka menyaksikan atau mengalami sendiri penderaan atau gangguan sepanjang setahun lalu.
Sekitar satu dalam tiga pekerja penjagaan kesihatan pula menyaksikan atau mengalami penderaan atau gangguan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.
Pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan seperti ahli farmasi, penyedia khidmat pesakit, dan jururawat lebih berkemungkinan mengalami penderaan dan gangguan.
Sebagai contoh, sekitar 55 peratus ahli farmasi menyaksikan atau mengalami penderaan atau gangguan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.
Demikian antara dapatan kajian melibatkan lebih 3,000 pekerja penjagaan kesihatan dan lebih 1,500 anggota masyarakat.
Kajian itu dijalankan oleh Kumpulan Kerja Tiga Pihak bagi Pencegahan Penderaan dan Gangguan ke atas Pekerja Penjagaan Kesihatan yang ditubuhkan pada April 2022.
Kumpulan kerja itu memimpin satu usaha nasional untuk mencegah penderaan dan gangguan ke atas pekerja penjagaan kesihatan dalam sektor awam, swasta, dan penjagaan masyarakat.
Kajian itu mendapati sekitar 32 peratus hingga 40 peratus pekerja penjagaan kesihatan di institusi penjagaan kesihatan awam berkata mereka menyaksikan atau mengalami penderaan atau gangguan, berbanding 25 peratus pekerja penjagaan kesihatan di institusi penjagaan kesihatan swasta dan 27 peratus di pertubuhaan jagaan masyarakat.
Dalam ucapannya di Sesi Melibatkan Kakitangan dalam Menyokong Pekerja Penjagaan Kesihatan Kementerian Kesihatan (MOH) - Kumpulan Penjagaan Kesihatan Nasional (NHG) di Pusat Inovasi Penjagaan Kesihatan Ng Teng Fong, pada Jumaat, Menteri Kesihatan Encik Ong Ye Kung, menekankan bahawa sikap mendera pekerja penjagaan kesihatan tidak boleh diterima.
"Dalam suasana penjagaan kesihatan, di mana kerjanya ialah menawarkan penjagaan, kita menganggap sikap buruk sebagai boleh dibiarkan dan tidak diperbaiki.
"Sedang ramai pekerja penjagaan kesihatan cari jalan untuk menanganinya, adalah memenatkan dan melemahkan semangat apabila kerap mengalaminya. Ia tidak boleh diterima," katanya.
Laporan kajian itu menyatakan bentuk penderaan dan gangguan paling biasa berlaku ialah dijerit, ancaman oleh pesakit dan/atau penyedia jagaan bahawa mereka akan memfailkan aduan atau mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja penjagaan kesihatan, dan kenyataan yang merendahkan maruah.
Serangan fizikal, bagaimanapun, jarang berlaku.Sepanjang 12 bulan lalu, sekitar 46 peratus daripada pekerja penjagaan kesihatan yang ditinjau berkata mereka menyaksikan atau mengalami dijerit, berbanding 4 peratus yang menyaksikan atau mengalami serangan fizikal.
Laporan itu menyebut bahawa penderaan dan gangguan oleh pesakit dan penyedia jagaan berpunca daripada xenofobia, iaitu perasaan sangat takut atau benci terhadap orang asing. Ini termasuk melemparkan kata-kata yang merendahkan maruah terhadap pekerja penjagaan kesihatan berdasarkan kewarganegaraan mereka.
Ia juga termasuk permintaan tidak munasabah seperti meminta dilayan pekerja penjagaan kesihatan berdasarkan kaum atau kewarganegaraan tertentu, meskipun bahasa perbualan bukan halangan.
Kededuanya, pekerja penjagaan kesihatan dan anggota masyarakat, juga mengalami kes pesakit mendera kerana mereka tidak sedar atau tidak dapat mengawal tindakan mereka, akibat keadaan perubatan atau kerana bahan memabukkan.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa pada satu tahap, pekerja penjagaan kesihatan menganggap penderaan dan gangguan yang dialami mereka sebagai perkara normal dan sebahagian daripada pekerjaan mereka.
"Pekerja penjagaan kesihatan yang mengalami penderaan dan gangguan kadangkala menganggapnya sebagai sebahagian daripada pekerjaan mereka.
"Pekerja penjagaan kesihatan sering bersifat empati terhadap keadaan pesakit dan tidak mengambil tindakan terhadap mereka. Akibatnya, penderaan dan gangguan biasanya kurang dilaporkan," ujar laporan itu.
"Dalam suasana penjagaan kesihatan, di mana kerjanya ialah menawarkan penjagaan, kita menganggap sikap buruk sebagai boleh dibiarkan dan tidak diperbaiki. Sedang ramai pekerja penjagaan kesihatan cari jalan untuk menanganinya, adalah memenatkan dan melemahkan semangat apabila kerap mengalaminya. Ia tidak boleh diterima." - Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg