KAWASAN di sekitar Wisma Geylang Serai (WGS) akan dibangunkan menjadi kawasan Jalur Budaya Melayu yang memaparkan ciri-ciri warisan serta sejarah kawasan itu yang tersendiri.
Ini merangkumi tapak dari Tanjong Katong Complex hingga Kelab Masyarakat Kampong Ubi di sepanjang Geylang Road dan Sims Avenue.
Antara idea yang sedang diteroka termasuk menghasilkan satu garis panduan untuk pembangunan masa depan di sekitar kawasan itu bagi menonjolkan ciri-ciri kemelayuan dari segi budaya, warisan dan sejarah.
Dalam satu wawancara semalam (20 Ogos), Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar) Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, berkata:
"Sejak Wisma Geylang Serai mula beroperasi empat atau lima bulan lalu, kami sedar terdapat banyak sekali potensi untuk meningkatkan peranan Wisma Geylang Serai serta membangunkan kawasan sekitarnya sebagai satu tempat dengan kebudayaan tersendiri.
"Geylang Serai mengandungi banyak sejarah dan warisan. Kami ingin membina warisan itu agar generasi akan datang boleh menghayati sejarahnya."
Antara idea awal yang diteroka termasuk memudahkan perjalanan kaki dari stesen MRT Paya Lebar ke kawasan itu dan sekitarnya, penyalaan lampu pada waktu malam, serta usaha mencantikkan persimpangan jalan di depan WGS, pasar Geylang Serai dan Joo Chiat Complex.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg