INSTITUSI kewangan kini boleh berkongsi antara satu sama lain maklumat tentang pelanggan yang menunjukkan pelbagai tanda amaran yang mungkin memberi isyarat kemungkinan berlaku jenayah kewangan.
Ini selepas Rang Undang-undang Perkhidmatan dan Pasaran Kewangan (Pindaan) diluluskan di Parlimen pada Selasa.
Bercakap bagi pihak Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial serta Menteri Bertanggungjawab bagi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Tharman Shanmugaratnam, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, berkata meskipun institusi kewangan telah mengukuhkan benteng mereka dalam menentang jenayah kewangan, mereka tidak dapat memberi amaran kepada satu sama lain tentang aktiviti luar biasa melibatkan pelanggan mereka.
Ini disebabkan kewajipan kerahsiaan pelanggan.
"Penjenayah mengeksploitasi ini dengan membuat transaksi haram melalui institusi kewangan berbeza untuk mengelakkan pengesanan," kata Encik Tan.
Oleh itu, MAS menyarankan membentuk platform Cosmic, atau Perkongsian Kolaboratif Maklumat & Kes Pengubahan Wang Haram/ Pembiayaan keganasan.
Platform itu boleh digunakan institusi kewangan untuk berkongsi maklumat pelanggan dengan satu sama lain hanya bagi tujuan mengesan atau mengekang jenayah kewangan.
Rang itu menggariskan tiga mod di mana maklumat sedemikian boleh dikongsi melalui Cosmic - institusi kewangan meminta maklumat daripada institusi kewangan lain; institusi kewangan menyediakan maklumat secara proaktif kepada institusi kewangan lain; dan institusi kewangan meletak pelanggan di bawah senarai pantauan untuk memaklumkan institusi kewangan lain.
Encik Tan menjelaskan bahawa terdapat perlindungan terhadap penggunaan dan akses kepada maklumat yang tersedia di Cosmic.
MAS sebagai pemilik platform itu akan memastikan maklumat yang dikongsi dan disimpan dilakukan dengan selamat.
Institusi kewangan juga tidak dibenarkan mendedahkan maklumat yang didapati daripada Cosmic kepada pihak ketiga lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg