Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rang perangi kandungan palsu, ‘deepfake’ semasa pilihan raya dibentang

Sep 9, 2024 | 6:55 PM
Mulai Pilihan Raya Umum (GE) akan datang, Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO)  boleh mengeluarkan arahan pembetulan kepada individu yang menerbitkan kandungan yang dijana atau dimanipulasi secara digital dalam talian.
Mulai Pilihan Raya Umum (GE) akan datang, Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO)  boleh mengeluarkan arahan pembetulan kepada individu yang menerbitkan kandungan yang dijana atau dimanipulasi secara digital dalam talian. - Foto ST

Mulai Pilihan Raya Umum (GE) akan datang, Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) boleh mengeluarkan arahan pembetulan kepada individu yang menerbitkan kandungan yang dijana atau dimanipulasi secara digital dalam talian.

Secara khususnya, ia melibatkan kandungan seperti palsu mendalam, atau ‘deepfake’, yang secara realistik menggambarkan calon pilihan raya berkata atau melakukan sesuatu yang beliau sendiri tidak katakan atau lakukan.

‘Deepfake’ adalah satu teknik pemalsuan dengan merubah rupa paras seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.

RO juga boleh mengeluarkan arahan pembetulan kepada perkhidmatan media sosial dan pembekal perkhidmatan akses Internet untuk menghapuskan kandungan tersebut, atau mengehadkan akses oleh pengguna Singapura kepada kandungan tersebut semasa tempoh pilihan raya.

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, memperkenalkan Rang Undang-undang (Pindaan) Pilihan Raya (Kewibawaan Iklan Dalam Talian) tersebut di Parlimen pada 9 September.

Peraturan baru itu adalah sebahagian daripada rang undang-undang baru yang bertujuan melindungi integriti pilihan raya dan akan berkuat kuasa dari tarikh pengeluaran Writ Pilihan Raya hingga penutupan waktu pengundian pada Hari Mengundi.

Ia juga adalah sebahagian daripada usaha pemerintah untuk melindungi rakyat Singapura daripada kandungan yang dimanipulasi secara digital semasa pilihan raya, kata Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Rang undang-undang itu mencadangkan untuk meminda Akta Pilihan Raya Parlimen dan Akta Pilihan Raya Presiden dengan memperkenalkan langkah baru untuk melindungi rakyat Singapura daripada kandungan yang dimanipulasi secara digital.

Ini termasuk maklumat salah yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) seperti ‘deepfake’.

Pada masa ini, undang-undang seperti Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma) sudah tersedia untuk pemerintah menangani kenyataan palsu dalam talian oleh individu demi kepentingan awam.

Bagaimanapun, undang-undang baru yang disasarkan amat diperlukan di bawah Pengiklanan Pilihan Raya Dalam Talian (OEA) untuk bertindak ke atas ‘deepfake’ yang menyalahgambarkan calon semasa pilihan raya, kata MDDI.

“Kami melihat rang undang-undang baru ini bukan sebagai pengganti kepada Pofma, sebaliknya sebagai satu cara untuk menambah dan mempertajam peraturan kami di bawah Pengiklanan Pilihan Raya Dalam Talian (OEA), untuk memantapkan integriti proses pilihan raya kami.

“Pindaan ini lebih menyasarkan kepada pilihan raya kita kerana larangan itu memberi tumpuan kepada salah nyata tindakan atau kata-kata calon. Ia adalah semasa konteks pilihan raya, bermakna (alat) ini tidak lagi mempunyai kesan selepas penutupan pengundian.

“Rang undang-undang itu akan membenarkan RO menangani ‘deepfakes’ dengan pantas, dengan meminta penyingkirannya, memandangkan sifat aliran maklumat yang pantas dalam konteks pilihan raya,” kata jurucakap MDDI.

Di bawah rang undang-undang baru itu, kegagalan mematuhi arahan pembetulan adalah satu kesalahan dan mereka yang didapati bersalah boleh dihukum dengan denda, atau penjara, atau kedua-duanya.

Calon yang difitnah oleh kandungan yang dimanipulasi secara digital boleh memfailkan permintaan kepada RO untuk menyemak kandungan dan mengeluarkan arahan pembetulan

Calon tersebut boleh membuat pengisytiharan untuk membuktikan kebenaran tuntutannya, dan jika RO menilai ia sebagai kes tulen, arahan pembetulan boleh dikeluarkan.

Bagaimanapun, calon yang dengan sengaja membuat pengisytiharan palsu atau mengelirukan boleh dikenakan denda atau kehilangan kerusi mereka.

Contoh pengiklanan pilihan raya dalam talian yang dimanipulasi secara digital yang akan diliputi di bawah rang undang-undang baru termasuk audio palsu atau panggilan telefon menerusi robot, iaitu suara calon yang dimanipulasi dalam talian atau panggilan telefon.

Antara contoh perkara yang diliputi di bawah rang undang-udang tersebut termasuk imej dan video yang dimanipulasi yang menyalahgambar calon, dan bahan kempen yang dijana oleh AI yang realistik, tidak kira sama ada ia menggambarkan calon dalam cahaya positif atau negatif.

Kandungan seperti watak animasi atau kartun, pengubahsuaian kecil seperti ‘filter’ kecantikan, kandungan hiburan atau ‘meme’, dan poster kempen tidak akan diliputi di bawah rang undang-undang baru itu.

Adalah satu kesalahan juga di bawah undang-undang untuk merangsang atau ‘boost’ akses kepada kandungan yang dilarang, contohnya, melalui pembayaran untuk meningkatkan, berkongsi kandungan atau pautan ke kandungan atau menyiarkan semula.

Bagaimanapun, larangan itu tidak akan dikenakan kepada berita yang diterbitkan oleh agensi berita yang diberi kuasa, dan kandungan yang disampaikan antara individu yang bersifat peribadi melalui cara elektronik.

MDDI berkata bahawa selepas pilihan raya, ‘deepfakes’ dan bentuk kandungan yang dimanipulasi masih juga boleh mendatangkan kemudaratan yang serius kepada pengguna dalam talian.

Oleh itu, ia berkata pencipta dan pengedar kandungan yang dijana AI mempunyai tanggungjawab untuk memupuk ruang maklumat yang selamat, tidak kira semasa atau di luar pilihan raya.

Dalam beberapa bulan akan datang, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) akan mendekati perkhidmatan media sosial untuk memperkenalkan Kod Amalan baru yang memerlukan mereka melaksanakan langkah-langkah untuk mencegah dan menangani penyalahgunaan kandungan yang dimanipulasi secara digital pada perkhidmatan mereka.

“Kami menyedari bahawa ‘deepfake’ tidak hanya muncul semasa pilihan raya. Itulah sebabnya kami memperkenalkan Kod Amalan (COP). Ia bukan COP pertama di bawah Pofma.

“COP membentangkan tanggungjawab yang syarikat media sosial perlu ada, dan ia mengikat di sisi undang-undang. Jika syarikat media sosial yang ditetapkan tidak dapat memenuhi keperluan itu, ia akan didapati melanggar COP itu,” kata MDDI.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg