Topik diikuti
Pergi ke BHkuRang tegas bagi pihak enggan bayar nafkah diusul
Rang tegas bagi pihak enggan bayar nafkah diusul
MEREKA yang menuntut nafkah daripada bekas pasangan yang enggan membayar, tidak lama lagi mungkin mempunyai wadah lebih mudah untuk mendapatkan bantuan selepas Rang Undang-Undang Perubahan terhadap Keadilan Keluarga dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen pada Khamis.
Memandangkan ketidakpatuhan terhadap perintah pembayaran nafkah terus menjadi satu keprihatinan, satu unit baru Pegawai Penguat Kuasa Nafkah akan ditubuhkan untuk memastikan mereka yang enggan membayar nafkah akan ditangani dengan lebih tegas, kata Kementerian Undang-undang (Minlaw) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataan.
Pegawai Penguat Kuasa Nafkah baru itu akan diberi kuasa untuk memperolehi maklumat tentang aset dan sumber pendapatan pihak terbabit daripada entiti seperti bank dan agensi pemerintah seperti Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Ini akan membantu pegawai membezakan antara mereka yang tidak mampu membayar nafkah, dengan mereka yang mempunyai kemampuan kewangan tetapi enggan membayar.
Pada masa ini, jika satu pihak itu memerlukan maklumat lanjut tentang keadaan kewangan bekas pasangan, beliau perlu memfailkan laporan penemuan.
Tiada kuasa semasa daripada mahkamah atau pengantara untuk mendapatkan maklumat terus daripada pihak ketiga.
Dengan akses dipertingkat kepada maklumat yang kini tidak tersedia, mahkamah akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menentukan perintah yang sesuai terhadap responden yang gagal mematuhi perintah pembayaran nafkah, kata dua kementerian itu.
Pegawai juga boleh mengarahkan pihak yang benar-benar tidak dapat membayar nafkah ke saluran bantuan kewangan, dan mahkamah boleh menyemak perintah pembayaran nafkah tanpa memerlukan permohonan rasmi yang berasingan.
Sebarang maklumat yang ditemui oleh pegawai juga boleh digunakan sebagai bukti oleh mereka yang percaya bahawa bekas pasangan mereka mungkin melesapkan aset mereka, contohnya, dengan mengeluarkan wang simpanan untuk disimpan di tempat lain, untuk memanipulasi keadaan kewangan mereka.
Pada masa ini, beban pembuktian terletak pada si pemohon.
Pegawai penguatkuasa itu adalah sebahagian daripada Proses Penguatkuasaan Pembayaran Nafkah (MEP) baru yang akan memudahkan permohonan berkaitan dengan keengganan membayar perintah pembayaran nafkah.
Mereka yang ingin mendapatkan nafkah daripada bekas pasangan pada masa ini perlu menjalani proses yang memakan masa untuk menghadiri perbicaraan mahkamah secara fizikal dan maya.
Ini bermakna mereka yang merupakan pekerja harian boleh kehilangan beberapa hari sumber pendapatan, kata dua kementerian itu.
Perubahan lain yang akan diperkenalkan dalam MEP termasuk mengehendaki responden membuat Perintah Tunjuk Bukti Pembayaran bagi membuktikan pembayaran nafkah telah dibuat pada tarikh yang ditetapkan.
Mahkamah akan menetapkan hukuman penjara yang boleh dikenakan ke atas responden jika individu itu gagal menunjukkan bukti pembayaran di bawah Perintah Tunjuk Bukti Pembayaran itu.
Perintah hukuman penjara itu tidak akan dibuat hanya dalam keadaan khusus, dengan mengambil kira kesihatan atau usia tua responden.
Langkah-langkah itu bertujuan untuk mengurangkan ketidakpatuhan berulang oleh mereka yang enggan membayar nafkah walaupun mampu berbuat demikian.