Satu rang undang-undang untuk memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan, yang menjenayahkan hubungan seks sesama lelaki, telah diperkenal di Parlimen pada Khamis (20 Okt), membuka jalan bagi undang-undang era penjajah itu dihapuskan. Pada masa sama, pindaan kepada Perlembagaan juga diperkenalkan untuk melindungi takrifan perkahwinan sebagai antara lelaki dengan wanita - dan dasar pemerintah dibuat atas dasar itu - daripada dicabar di mahkamah atas alasan Perlembagaan. Dua rang itu akan dibahaskan secara bersama apabila Parlimen bersidang pada 28 November, dan kemudian diundi secara berasingan. Ini kerana untuk memansuhkan undang-undang hanya memerlukan majoriti mudah Anggota Parlimen (AP), manakala sebarang pindaan kepada Perlembagaan perlu disokong sekurang-kurangnya dua pertiga AP, tidak termasuk Anggota Parlimen Dilantik (NMP). Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan), yang diperkenal di Parlimen oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K. Shanmugam, dibuat selepas Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata semasa Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos lalu bahawa pemerintah akan memansuhkan S377A dan tidak menjadikan satu jenayah perbuatan seks sesama lelaki, sedang sikap masyarakat terhadap homoseksualiti kian berubah dengan ketara. Satu keputusan dan nasihat Mahkamah Rayuan baru-baru ini oleh Peguam Negara juga menunjukkan risiko besar S377A ditolak mahkamah dalam satu kes masa depan untuk mengisytiharkan undang-undang itu sebagai tidak berperlembagaan atas alasan ia melanggar Perkara 12, satu peruntukan perlindungan sama rata dalam Perlembagaan, kata Encik Lee semasa Rapat itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg