RANG Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian, yang akan dibahaskan di Parlimen minggu depan, merupakan satu usaha ke arah masa depan digital yang lebih selamat dan inklusif, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan, Cik Josephine Teo.
Ia memerlukan Perkhidmatan Komunikasi Dalam Talian Ditetapkan dengan capaian atau kesan yang ketara untuk mematuhi Kod Amalan, termasuk melaksanakan langkah-langkah untuk melindungi pengguna Singapura terhadap bahaya dalam talian.
Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) juga akan diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan untuk semua bentuk Perkhidmatan Komunikasi Dalam Talian, untuk menyekat akses kepada kandungan buruk yang sampai kepada pengguna Singapura. Satu-satunya pengecualian adalah jika komunikasi adalah peribadi.
Cik Teo berkata demikian dalam satu Dialog Dentons Rodyk yang diadakan semalam.
"Kami percaya pendekatan yang disasarkan untuk mempunyai undang-undang yang sesuai untuk tujuan tertentu adalah lebih baik untuk kami. Jika kami cuba untuk menangani semua isu dengan hanya dengan satu undang-undang, ini mungkin akan melibatkan kesan yang tidak cukup halus. Mereka mungkin tidak sesuai atau berkesan," kata Cik Teo.
Oleh itu, Rang Undang-Undang itu dirangkumkan dengan teliti untuk menyertakan hanya risiko utama yang dihadapi oleh rakyat Singapura yang mengambil berat tentang kandungan dalam talian.
"Ia tidak cuba untuk melindungi segala-galanya... Sekiranya kod amalan perlu dikemas kini selepas pelaksanaan, kami akan berbuat demikian," tambahnya.
Beliau menambah pemerintah akan juga mengambil pendekatan berperingkat untuk melaksanakan langkah-langkah yang dicadangkan.
Buat masa ini, mereka akan memberi tumpuan kepada Perkhidmatan Media Sosial memandangkan jangkauan dan risikonya yang ketara.
Seterusnya, mereka akan menentukan cara terbaik untuk menangani kandungan berbahaya dalam Perkhidmatan Komunikasi Dalam Talian yang lain.
Dalam penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian, mereka telah melibatkan maklum balas pelbagai jenis pihak berkepentingan, termasuk orang awam, masyarakat dan kumpulan industri. Mereka menerima lebih 600 respons, yang memaklumkan pendekatan mereka terhadap rang tersebut.
Satu tinjauan oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) pada Jun 2022 mendapati bahawa kira-kira 8 daripada 10 penduduk Singapura bimbang dengan kemudaratan dalam talian, dan hampir 9 dalam 10 telah menemui kandungan dalam talian yang berbahaya dalam tempoh enam bulan yang lalu.
Kandungan seksual, pengganasan serta pembulian siber adalah kandungan teratas paling memerlukan perlindungan, menurut para responden.
Kebimbangan ini diutarakan lagi semasa proses perundingan, di mana ibu bapa menyatakan kebimbangan terhadap kandungan media sosial yang tular yang memaparkan gurauan dan cabaran berbahaya yang boleh ditiru oleh anak-anak mereka.
Berpandukan kebimbangan sedemikian, langkah-langkah telah dibuat untuk mempunyai sistem yang sesuai untuk menangani bahaya tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg