Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rangkaian Penghubung Taman Ulu Pandan dibuka semula sepenuhnya

Jun 30, 2024 | 4:06 PM
Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann (tengah, barisan hadapan) berjalan bersama penduduk di laluan tanjakan yang menuju ke penghubung taman itu, dalam satu kegiatan senaman pada 30 Jun. 
Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann (tengah, barisan hadapan) berjalan bersama penduduk di laluan tanjakan yang menuju ke penghubung taman itu, dalam satu kegiatan senaman pada 30 Jun.  - Foto ST

Rangkaian Penghubung Taman Ulu Pandan di Clementi dibuka semula sepenuhnya pada 30 Jun, berikutan kerja pembinaan semula yang selesai dijalankan.

Ini selepas Rangkaian Penghubung Taman itu terjejas dan rosak akibat kejadian tanah runtuh yang menyebabkan tanah menggelongsor ke laluan pejalan kaki dan basikal, serta Longkang Besar Ulu Pandan pada September 2022.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menyatakan pada 30 Jun bahawa ia telah menyelesaikan kerja pembinaan semula untuk memulihkan bahagian penghubung taman yang rosak, dan mengukuhkan cerun di pinggir barat kawasan projek Bina Ikut Tempahan (BTO) Clementi NorthArc.

Hampir kesemua flat bagi projek BTO tersebut telah dibeli.

HDB membuka semula bahagian penghubung taman itu secara berperingkat, dengan fasa terakhir yang pada mulanya dijangka dibuka semula pada Disember 2023, tertangguh hingga kini.

Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, yang melawat tapak tersebut dan menyertai penduduk dalam satu kegiatan senaman pagi pada 30 Jun, memberitahu wartawan bahawa kawasan yang dibuka semula itu meliputi laluan 150 meter terakhir di tebing yang terjejas.

Kemudahan yang telah dirancang di Clementi NorthArc turut dibuka, termasuk astaka berbumbung, taman permainan, beberapa stesen kecergasan dan laluan tanjakan yang menuju ke penghubung taman itu.

Cik Sim berkata baki kemudahan di kawasan tersebut telah juga disiapkan bersama kerja pemulihan dan pembaikan itu.

“Penduduk kita telah menantikan untuk dapat berjalan tanpa halangan di sepanjang tebing selatan di Rangkaian Penghubung Taman Ulu Pandan ini.

“Kini mereka boleh melakukannya,” ujar Cik Sim.

HDB menyatakan bahawa 98 ​​peratus daripada 1,179 flat di estet NorthArc yang merangkumi enam blok itu telah dibeli.

Hampir semua penduduknya telah mengambil kunci rumah baru mereka.

Mengulas mengenai penangguhan tersebut, Cik Sim berkata cuaca buruk telah melambatkan kerja-kerja pemulihan.

Sebelum ini, HDB menyatakan tapak tersebut mengalami hujan lebat luar biasa pada suku kedua 2023 dan akhir 2023, dan ia perlu memastikan tapak tersebut cukup stabil sebelum membina pelbagai kemudahan di sana.

HDB juga mempunyai waktu kerja terhad, terutama bagi kerja-kerja pembinaan yang bising, agar penduduk tidak terganggu.

Cik Sim berkata agensi yang terlibat menjalankan kerja tambahan untuk mengukuhkan lagi cerun tersebut, bagi mewujudkan penampan keselamatan lebih baik.

Ditanya bagaimana kejadian serupa boleh dielakkan, Cik Sim berkata HDB telah menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada risiko terhadap blok perumahan di kawasan itu, atau projek lain yang sedang dijalankan dengan geografi serupa dengan Clementi NorthArc.

“Ini adalah sesuatu yang kami beri keutamaan kerana kami ingin meyakinkan bakal penduduk mengenai keselamatan mereka,” katanya.

Kejadian tanah runtuh itu berlaku pada 2 September 2022 di tapak binaan Clementi NorthArc di Clementi Avenue 6, menyebabkan tanah menggelongsor ke Longkang Besar Ulu Pandan, merosakkan penghubung taman itu, serta menimbulkan kebimbangan mengenai banjir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg