Penurunan kos kecerdasan buatan (AI) serta perubahan dalam rantaian bekalan global membuka peluang pertumbuhan bagi Asia, meskipun perniagaan terus berdepan ketidaktentuan dengan perubahan tarif Amerika Syarikat (AS) dan ancaman penipuan siber yang semakin canggih.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan OCBC, Encik Tan Teck Long, berkata walaupun terdapat ketidaktentuan, perdagangan antara negara Asia semakin meningkat dan kini merangkumi lebih separuh daripada jumlah perdagangan di rantau ini.

Pertumbuhan itu disokong oleh kepelbagaian rantaian bekalan ke negara ASEAN serta pelaburan berkaitan AI, di mana pelaburan langsung asing (FDI) ke ASEAN meningkat 10 peratus pada 2025.

Berucap di Sidang Puncak Masa Depan Asia (AFS) 2026 pada 27 November, Encik Tan berkata Asia mempunyai peranan penting dalam membentuk rantaian bekalan serta hala tuju AI.

“Terdapat peluang yang boleh dimanfaatkan menerusi penyusunan semula dan kepelbagaian rantaian bekalan, selain penggunaan AI untuk meningkatkan produktiviti.

“Malah, AI juga boleh dimanfaatkan untuk menggalakkan pembangunan tenaga hijau,” kata beliau semasa acara di Pusat Konvensyen dan Expo Sands di Marina Bay Sands.

Berhubung rantaian bekalan, Encik Tan berkata perbezaan piawaian teknologi dan akses kepada teknologi antara negara tidak semestinya bermakna rantaian bekalan global akan terpisah.

Misalnya, Encik Tan berkata cip pemproses grafik (GPU) canggih dari AS boleh direka di negara itu, dihasilkan di Taiwan, digabungkan dengan komponen memori dari Korea Selatan, sebelum dibungkus dan diuji di Singapura dan Malaysia.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Komponen itu kemudian boleh dihantar semula ke Taiwan untuk pemasangan lanjut sebelum digunakan di pusat data seluruh dunia, bersama peralatan penyejukan dari tanah besar China.

“Walaupun kawalan teknologi semakin diperketat, rantaian bekalan yang mendasarnya kekal saling berkait rapat,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Tan berkata AI akan terus berkembang dan didorong oleh peningkatan penggunaan, keupayaan model AI yang semakin baik serta kos yang semakin rendah.

“Kos AI semakin menurun. Ini bermakna halangan bagi syarikat untuk menggunakan AI bagi meningkatkan produktiviti semakin berkurang.

“Kos yang lebih rendah juga akan mendorong penggunaan AI secara lebih meluas dan mudah pada tahun mendatang,” kata beliau.

Namun, kemudahan akses kepada AI turut meningkatkan risiko ancaman siber dan penipuan, yang perlu tangani.

Di Singapura, penipuan pelaburan merupakan kategori penipuan terbesar dari segi jumlah wang yang hilang, dengan mangsa kehilangan $170 juta secara keseluruhan dalam separuh pertama 2026.

Encik Tan berkata usaha bersama industri perbankan dalam memerangi penipuan telah menunjukkan hasil, dengan jumlah kerugian akibat penipuan merosot 18 peratus dalam separuh pertama 2026.

Selain meningkatkan produktiviti, penggunaan AI juga berpotensi merangsang pembangunan tenaga hijau, khususnya menerusi permintaan tenaga yang semakin meningkat daripada pusat data.

Beliau berkata syarikat teknologi kini semakin memerlukan sumber tenaga bersih bagi memenuhi matlamat kemampanan mereka, memandangkan pusat data yang menyokong penggunaan AI memerlukan jumlah tenaga yang besar.

Permintaan itu sekali gus membuka peluang untuk mempercepat pembangunan tenaga hijau.

Dengan pelbagai peluang dan cabaran yang terdapat, Encik Tan berharap sidang kemuncak tersebut dapat membantu negara dan perniagaan Asia mengenal pasti hala tuju untuk masa hadapan.

Sidang tersebut, anjuran SPH Media, turut dibentangkan bersama oleh lima penerbitan utamanya – The Straits Times (ST), The Business Times (BT), Lianhe Zaobao (ZB), Berita Harian (BH) dan Tamil Murasu (TM).

OCBC merupakan penaja utama bagi Sidang Kemuncak Masa Depan Asia 2026, dengan Marina Bay Sands sebagai rakan kongsi lokasi rasmi dan Amazon Web Services sebagai rakan kongsi awan rasmi.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti