Topik diikuti
Pergi ke BHkuRasa segan, kelas terlalu formal, antara sebab ada masih ragu-ragu sertai kelas agama
Rasa segan, kelas terlalu formal, antara sebab ada masih ragu-ragu sertai kelas agama
Kajian Muis: Komitmen kerja dan keluarga; kurangnya program bagi peringkat pengajian berbeza-beza antara penghambat ceburi pendidikan Islam separuh masa
Rasa segan, kelas terlalu formal, antara sebab ada masih ragu-ragu sertai kelas agama
Ada yang menganggap sesetengah kelas pengajian Islam separuh masa diadakan secara terlalu formal atau terlalu mencabar. Ada pula yang dihimpit rasa segan - takut dihakimi atau dipandang serong dek kurang pengetahuan tentang Islam.
Faktor-faktor ini antara sebab yang menjadi penghalang bagi segolongan masyarakat - termasuk orang dewasa dan kanak-kanak - untuk menyertai kelas pengajian Islam secara separuh masa walaupun mereka mempunyai keinginan yang kuat untuk mendalami ilmu Islam, kata Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen.
Sebab-sebab yang dikongsinya itu bukan sekadar penghalang kecil dan mencetus keprihatinan, kata Encik Kadir, menambah.
Malah, ia telah menghambat masyarakat untuk menemui laluan pengajian Islam yang sesuai dengan mereka walaupun mempunyai hasrat yang besar untuk mendalami ilmu agama.
“Berdasarkan dapatan kajian Muis, ia memaparkan bahawa keinginan untuk mendalami ilmu pengetahuan Islam dalam kalangan masyarakat masih kuat. Namun, kami juga dapati, ada yang merasakan sesetengah program pengajian Islam yang ditawarkan terlalu formal, terlalu mencabar dan terlalu ketat,” ujar Encik Kadir.
“Ada yang menyedari lebih banyak lagi ilmu yang tidak diketahui dan melampaui apa yang dipelajari sepanjang kehidupan mereka.
“Hal ini membuat mereka menanggung kerisauan secara senyap dek takut dihakimi atas ilmu yang tidak mereka tahu.”
Encik Kadir berkata demikian semasa menyampaikan ucapannya mengenai dapatan awal hasil kajian Muis yang sedang berlangsung dan juga pemerhatian peribadinya, sewaktu menghadiri pameran LearnIslam Fest 2026 yang berlangsung di Singapore EXPO pada 4 Julai.
Kajian yang dimaksud oleh Encik Kadir itu telah dijalankan Muis, antara lain untuk menyelidik trend penyertaan masyarakat setempat dalam memperoleh pendidikan Islam secara separuh masa.
Ia telah diadakan melalui perbincangan kumpulan fokus pada tempoh Jun-Julai 2026 dan melibatkan warga Singapura berusia 18-50 tahun termasuk ibu bapa yang mempuyai anak yang bersekolah. Ia dijangka lengkap pada September 2026.
Dalam kenyataannya, Muis berkata kajian tersebut menunjukkan ada permintaan kuat bagi pengajian Islam di setiap peringkat usia; peserta mahukan pendidikan agama yang melebihi teori dan boleh dikaitkan dengan kehidupan harian; dan sekitaran pembelajaran yang memberi peserta rasa terlibat dalam komuniti.
Pada masa yang sama, kajian itu juga menunjukkan antara penghambat pendidikan Islam separuh masa di sini ialah komitmen kerja dan keluarga serta kurangnya program yang boleh memenuhi keperluan pelajar di peringkat pengajian berbeza-beza.
Dalam ucapannya, Encik Kadir akur jurang penyediaan pembelajaran agama sedemikian adalan antara yang ingin ditangani bersama Pusat dan Penyedia Pendidikan Islam (IECP) setempat.
“Kita perlu menilai dengan jujur - adakah kita telah memudahkan orang ramai untuk mengambil langkah pertama? Adakah program kita cukup fleksibel, mesra dan relevan? Adakah kita benar-benar mendekati masyarakat pada tahap mereka dan memahami realiti kehidupan mereka?,” kata Encik Kadir.
Dalam pada itu, 10 IECP di Singapura telah dilantik semula sebagai anggota Kumpulan Kerja Pendidikan Islam (IEWG) bagi tempoh 2026 dengan 2028.
Mereka termasuk Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Andalus, Cordova, Pusat As-Siddiq bagi Pengajian Islam Pte Ltd (SimplyIslam), ILHAM, Persatuan Perkhidmatan Sosial India Muslim Singapura (IMSSA), Kolej Islam Muhammadiyah, Darul Arqam Singapura (MCAS), Perdaus, dan Institut Pengajian Islam Pergas (Ipip).
Ditubuhkan pada 2019, IEWG mengiktiraf sekumpulan IECP di Singapura untuk berkhidmat dengan cara yang lebih bertepatan dengan keperluan serta keinginan masyarakat Melayu/Islam di sini
Ia juga bermatlamat untuk memperkukuh kerjasama dalam kalangan penyedia pendidikan bagi menggalakkan perkongsian amalan terbaik serta bersama-sama meningkatkan mutu pendidikan Islam separuh masa, kata Muis.
Pemeriksaan Berita Harian (BH) menunjukkan satu penyedia khidmat pengajian Islam, Darul Quran Singapura, tidak dilantik semula sebagai anggota IEWG.
Menjawab pertanyaan BH, jurucakap Muis berkata kumpulan kerja itu disemak secara berkala bagi memastikan ia kekal selaras dengan keutamaan semasa.
“Penyertaan adalah berdasarkan kesesuaian peranan setiap organisasi dengan fokus terkini kumpulan kerja tersebut. Usaha Darul Quran Singapura terus disokong melalui platform dan kerjasama sedia ada yang lain,” kata jurucakap tersebut.
