RATUSAN penumpang transit telah melalui Lapangan Terbang Changi sejak 11 Jun, kata Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Selasa (23 Jun).
CAAS berkata bilangan penumpang transit dijangka meningkat dalam beberapa minggu akan datang kerana syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) mula membawa penumpang transit daripada lebih banyak lokasi di China, Jepun dan Korea Selatan, lapor The Straits Times.
Lokasi baru ini seperti Hong Kong, Chongqing, Guangzhou, Shanghai, Osaka dan Tokyo telah ditambah dalam senarai diluluskan termasuk bandar di Australia dan New Zealand.
Pengarah peraturan ekonomi lapangan terbang dan keselamatan penerbangan, Cik Margaret Tan, memberitahu akhbar The Straits Times bahawa ia telah meluluskan permohonan penerbangan transit oleh kumpulan SIA selepas ia "berpuashati dengan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan penumpang transit, kakitangan lapangan terbang dan kesihatan awam di Singapura akan dilindungi ke tahap yang maksimum mungkin".


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg