Topic followed successfully
Go to BHkuRawatan kurang invasif baru diperkenal bagi pesakit injap jantung bocor
Rawatan kurang invasif baru diperkenal bagi pesakit injap jantung bocor
Rawatan kurang invasif baru diperkenal bagi pesakit injap jantung bocor

PESAKIT dengan injap jantung yang bocor mempunyai pilihan yang kurang invasif untuk merawat kondisi itu, setelah dua prosedur baru diperkenalkan di Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS).
Kondisi jantung itu berlaku apabila injap antara kededua ruang di sebelah kanan jantung tidak tutup dengan betul, menyebabkan darah meluah ke belakang.
Apabila luahan darah menjadi lebih teruk, ia boleh menyebabkan kesesakan dalam beberapa organ seperti ginjal dan hati, langsung menjejas fungsinya.
Menurut konsultan Jabatan Kardiologi NHCS, Dr Wong Ningyan, beliau menukil bahawa 36 peratus pesakit yang mengalami kondisi itu dengan teruk tidak dapat hidup lebih setahun jika ia tidak dirawat.
Hanya 14 peratus pesakit dalam kajian itu berjaya hidup lebih 10 tahun setelah diagnosis itu.
Dr Wong berkata pesakit akan diberikan ubat untuk mengurangkan simptom mereka, misalnya, sesak nafas, bengkak di kaki dan perut dan ada juga yang menjalani pembedahan untuk menggantikan injap.
"Namun ramai pesakit mempunyai komplikasi tinggi daripada prosedur pembedahan, dan keadaan mereka terpaksa dibiarkan tanpa dirawat," tambah beliau.
Dua prosedur di NHCS itu - TricValve dan TriClip - adalah untuk pesakit injap jantung bocor yang tidak sesuai menjalani pembedahan jantung.
Prosedur TricValve melibatkan dua injap buatan, atau bioprostetik, dimasukkan ke saluran darah di kaki pesakit, dan meletaknya berhampiran dengan ruang sebelah kanan jantung, kata Dr Wong.
Injap mereka kemudian akan mengembang dan akan mengurangkan aliran darah ke arah bertentangan, atau backflow, dan tekanan darah ke organ lain dalam badan.
TriClip pula membantu memperbaiki injap yang bocor dengan menghantar sistem klip ke jantung menerusi urat di kaki, dan menyepit sebahagian injap untuk mengurangkan aliran darah ke arah bertentangan.
Timbalan Ketua Eksekutif (Data Sains dan Inovasi) dan konsultan kanan di Jabatan Kardiologi NHCS, Profesor Madya Dr Yeo Khun Keong, berkata bahawa pembedahan hati untuk injap tidak mudah.
Beliau menambah bahawa jantung pesakit selalunya perlu dihentikan untuk prosedur itu.
"Pesakit diletakkan pada mesin pintasan jantung dan sternum mereka retak terbuka untuk pembedahan. Masa pemulihan mereka boleh berlangsung dari seminggu hingga beberapa bulan," katanya, sambil menambah pesakit biasanya perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) juga.
Namun, dengan prosedur baru ini, pesakit boleh pulang dalam tiga hari, jika tiada masalah perubatan lain.
Mereka juga tidak perlu ke ICU.
Dr Wong berkata prosedur baru itu akan ditawarkan kepada pesakit yang mengalami kondisi itu dengan simptom teruk serta berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi.
Prosedur itu akan dilakukan selepas perbincangan di kalangan pakar dari pelbagai disiplin, tambahnya.
Profesor Yeo berkata beliau menjangkakan kira-kira 10 hingga 15 pesakit akan mendapat manfaat daripada prosedur baru itu setiap tahun.
Seorang pesakit yang telah menjalani prosedur TricValve ialah Encik Tan Boon Chwee, seorang pekerja perkhidmatan awam yang berusia 52 tahun.
Beliau didiagnos dengan kondisi itu pada 2020 dan mengalami kesesakan nafas dan bengkak kaki dan kembung perut.
"Saya tidak boleh berjalan 10 meter dari rumah ke tempat letak kereta dan dalam kereta pula saya sesak nafas. Saya senang letih walaupun cukup rehat. Mutu kehidupan saya teruk," katanya.
Oleh kerana mengalami masalah perubatan lain, Encik Tan terpilih untuk menjalani prosedur baru pada Disember tahun lalu.
Kini, beliau berasa lebih baik dan berkata tenaganya meningkat, dan bengkak di kaki dan badan berkurang.
Beliau juga tidak mudah sesak nafas dan rasa seperti diberi kehidupan yang baru.

