Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rayuan editor TOC bagi hentikan prosiding hina AGC terhadapnya ditolak

Mahkamah Rayuan: Terry Xu gagal tunjukkan tindakan Peguam Negara akibatkan dia dilayan berbeza daripada orang lain yang dalam situasi sama dengannya
Aug 26, 2022 | 5:30 AM
METERAI MOU: (Dari kiri) Encik Saat, Encik Khaw, Encik Zaqy dan Cik Zuraidah hadir bagi majlis menandatangani MOU yang diadakan di auditorium SPH Media semalam. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
METERAI MOU: (Dari kiri) Encik Saat, Encik Khaw, Encik Zaqy dan Cik Zuraidah hadir bagi majlis menandatangani MOU yang diadakan di auditorium SPH Media semalam. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

MAHKAMAH Rayuan semalam menolak percubaan ketua editor The Online Citizen (TOC), Terry Xu, untuk cuba menghalang Peguam Negara daripada meneruskan prosiding menghina terhadapnya.

Peguam Negara memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Xu pada tahun lalu selepas laman web sosiopolitik yang kini tidak berfungsi itu menyiarkan semula surat terbuka oleh penulis Australia, Cik Julie O'Connor, yang mempersoal sistem keadilan Singapura.

Xu kemudian cuba mencabar keputusan Peguam Negara dengan berhujah bahawa dengan mendakwa dia sahaja dan tidak menyiasat Cik O'Connor adalah satu pelanggaran hak perlembagaan baginya untuk diberi layanan sama di bawah undang-undang.

Namun, mahkamah tertinggi tiga hakim itu, dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan semalam, berkata Xu gagal ujian undang-undang untuk menunjukkan bahawa tindakan Peguam Negara telah menyebabkan dia dilayan secara berbeza daripada orang lain dalam keadaan sama dengannya.

Pada 27 Januari tahun lalu, Xu menerbitkan sebuah artikel, terdiri daripada surat yang Cik O'Connor siarkan di blog peribadinya, di laman web TOC.

Dia juga berkongsi artikel itu di laman Facebook TOC.

Selepas Xu enggan memadamkan artikel itu dan pos Facebooknya, Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan pada 11 Ogos untuk menghukum Xu kerana menghinanya.

Pada 8 September, Xu, yang diwakili Encik Lim Tean, memfailkan permohonan bagi mendapatkan semakan kehakiman.

Ini ditolak pada 25 November oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi. Xu memfailkan rayuan pada 8 Disember.

Perkara utama kes itu ialah bagaimana Artikel 12(1) Perlembagaan, yang menyatakan bahawa "semua orang adalah sama di sisi undang-undang", diguna pakai dalam konteks Peguam Negara menjalankan budi bicara pendakwaan.

Mahkamah Rayuan menyatakan konsep kesaksamaan di bawah Artikel 12(1) bermakna semua orang yang berada dalam keadaan sama akan dilayan secara sama.

Penghakiman itu, yang disampaikan oleh Hakim Steven Chong, berkata adalah jelas layanan ke atas Xu tidak boleh dibandingkan dengan layanan ke atas Cik O'Connor kerana ada faktor yang membezakan antara mereka.

Hakikat Cik O'Connor tinggal di luar negara, lantas sukar bagi pihak berkuasa Singapura menyiasat dan mendakwa beliau, adalah faktor utama yang membezakannya dengan Xu, yang berada di bawah bidang kuasa Singapura.

Satu lagi faktor yang membezakan ialah penerbitan artikel di laman TOC dan laman Facebooknya boleh menyebabkan darjah kemudaratan lebih besar daripada penerbitan surat Cik O'Connor di blog beliau.

Mahkamah berkata penerbitan Xu berkemungkinan telah memberi apa yang didakwa Cik O'Connor edaran lebih luas, memandangkan jumlah pembaca TOC yang besar sebagai wadah berita alternatif yang ditubuhkan di Singapura.

Xu juga memberikan penampilan kewartawanan dan kesahihan editorial lebih besar bagi dakwaan Cik O'Connor, kata mahkamah.

Mahkamah menekankan bahawa tugas Peguam Negara ialah bertindak demi kepentingan awam.

Dalam menilai apa yang demi kepentingan awam, Peguam Negara berhak mengambil kira tahap kesukaran dalam menyiasat dan mendakwa Cik O'Connor, serta apakah dengan mengambil tindakan terhadap Xu sudah mencukupi.

Peguam Negara juga berhak menjalankan penilaian tahap kemudaratan dan membuat kesimpulan bahawa langkah mendakwa Xu adalah demi kepentingan awam, tetapi tidak demikian bagi Cik O'Connor, kata mahkamah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg