RAYUAN untuk permohonan pasport hanya boleh dilakukan secara dalam talian mulai Isnin (13 Jun), setelah Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyemak prosesnya.
Berhubung permohonan pasport, hanya pemohon yang mahu mengambil pasport sudah siap, menghantar dokumen sokongan, atau menghantar semula gambar akan dibenarkan untuk memasuki bangunan ICA di Kallang Road mulai Isnin.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu (11 Jun), ICA berkata lebih 5,000 pasport kini dikeluarkan setiap hari, tiga kali ganda berbanding sebelum Covid-19 pada 2019.
Lebih ramai pegawai telah dikerah untuk memproses dan menghasilkan pasport, menyusuli permohonan yang melonjak sejak Mac lalu.
Bilangan pengunjung ke Bangunan ICA juga telah meningkat.
"Ini telah mengakibatkan ramai yang beratur di Bangunan ICA, yang memerlukan tambahan pegawai ICA bagi pengurusan kesesakan dan perkhidmatan lain," kata ICA.
Dengan semakan proses itu, sumber yang digunakan untuk mengurus kesesakan dan permintaan di bangunan itu akan dikerah semula untuk memproses dan mengeluarkan pasport, kata ICA lagi.
Pemohon mesti menunjukkan dokumen yang relevan sebelum dibenarkan masuk ke Bangunan ICA.
Selain itu, pemohon pasport yang perlu mengambil pasport mereka di Bangunan ICA dinasihati untuk pergi berseorangan bagi mengurangkan kesesakan, kecuali kanak-kanak, warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan khas.
Pemohon yang layak juga digalakkan untuk mengambil pasport mereka dari satu daripada 27 pejabat pos. Tiada bayaran tambahan bagi pengambilan pasport di pejabat pos.
Pemohon yang perlu keluar negara secara mendesak, mereka boleh menghantar rayuan untuk mempercepat proses pengeluaran pasport di laman https://go.gov.sg/passportrequest.
"Kami meminta pemahaman warga Singapura mengenai proses disemak yang hanya membolehkan kunjungan berkaitan ehwal pasport tertentu semasa tempoh ini.
"Ini hanya menjejas perkhidmatan pasport dan tidak menjejas perkhidmatan ICA yang lain," kata agensi itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg