PESTA seni bina Archifest tahun ini akan mendapat sentuhan daripada syarikat seni bina setempat, Kite Studio Architecture, milik jurubina dan hos terkenal Singapura, Encik Khairudin Saharom.
Ini kerana reka bentuk yang dibentangkan firma itu berjaya dipilih bagi ruang acara Archifest 2018 yang akan berlangsung dari 28 September hingga 10 Oktober.
Pavilion itu akan antara lain memaparkan pelbagai program termasuk pameran, ceramah dan sebagainya.
Ketua dan pengarah Kite Studio Architecture, Encik Khairudin, berkata reka bentuk firmanya meraih inspirasi daripada dua elemen utama iaitu ruang terbuka Marina Bay yang dinamik serta seni gambar yang dihasilkan jurugambar Singapura, Nguan.
"Dengan itu, set reka bentuk kami berasaskan kolong blok HDB yang yang cukup ikonik dan kami telah memikirkannya semula sebagai ruang terbuka yang boleh diubah bagi pelbagai kegunaan buat pesta ini," katanya.
Menerusi laman web Institut Jurubina Singapura semalam (31 Julai), panel juri berkata reka bentuk itu juga mencerminkan tema Archifest tahun ini, Reka Bentuk Sepanjang Hidup, dengan baik.
"Mengambil rujukan daripada sejarah moden Singapura, ia berjaya menghasilkan satu struktur sementara yang inovatif bagi pesta ini berdasarkan sesuatu yang kebanyakan kita alami setiap hari.
"Dengan meraikan kehidupan, hasilnya cukup menarik, mesra dan inklusif. Ini merupakan satu persekitaran yang paling sesuai bagi pelbagai kegiatan yang ditawarkan Archifest tahun ini," kata mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg