SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Relawan bantu murid memerlukan terima anugerah penduduk cemerlang Yishun

Relawan bantu murid memerlukan terima anugerah penduduk cemerlang Yishun

Jan 3, 2023 | 5:30 AM

Relawan bantu murid memerlukan terima anugerah penduduk cemerlang Yishun

SUMBANGAN DIIKTIRAF: Cik Nur Ain Syakila Zaini telah melalui masa sukar semasa muda dan mahu terus menghulur bantuan kepada golongan kurang bernasib baik. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
SUMBANGAN DIIKTIRAF: Cik Nur Ain Syakila Zaini telah melalui masa sukar semasa muda dan mahu terus menghulur bantuan kepada golongan kurang bernasib baik. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

MELIHAT keadaan beberapa murid yang hadir ke pusat penjagaan selepas sekolah di mana beliau menjadi sukarelawan, terdetik kesedaran dalam diri Cik Nur Ain Syakila Zaini bahawa terdapat mereka yang mengalami nasib yang lebih buruk.

Meskipun perlu mengharungi cabaran dalam hidup, Cik Nur Ain Syakila tidak membiarkan ia menjadi penghalang untuk terus membantu mereka yang memerlukan.

"Kadangkala kita fikir apa yang kita lalui itu sungguh malang tetapi akan sentiasa ada mereka yang mengalami nasib yang lebih buruk," katanya.

Cik Syakila baru-baru ini telah diiktiraf dengan Anugerah Yishunite.

Dianjurkan Majlis Bandaran Nee Soon (NSTC), anugerah tahunan ini mengiktiraf khidmat luar biasa dan semangat kemasyarakatan yang kuat oleh penduduk Yishun.

Pengalaman hidupnya juga telah mengajar beliau tentang erti keihsanan.

Semasa masih menuntut di Institut Pengurusan Singapura (SIM), Cik Nur Ain Syakila terpaksa mengimbangi masa untuk pelajaran, bekerja sambilan dan juga menjaga keluarganya, terutama kedua orang tuanya serta arwah neneknya yang sedang sakit.

Ibunya menghidap kencing manis, manakala ayahnya pula mengalami penyakit lemah jantung dan lawatan ke hospital adalah lumrah sewaktu beliau membesar.

Dengan kegigihannya itu, Cik Nur Ain Syakila juga dapat melunaskan yuran pengajiannya dengan pendapatan yang beliau raih menerusi pekerjaan sebagai penghantar makanan Grab dan di restoran Tuk Tuk Cha yang dilakukan pada siang hari.

Meskipun begitu, beliau tidak pernah mengeluh dan menerima cabaran sebagai satu tanggungjawab seorang anak.

Pengalaman hidupnya itu juga mengajar Cik Nur Ain Syakila erti berdikari dan beliau akur bukan mudah mengharungi cabaran yang dilalui dengan sedikit bantuan.

Justeru, sebagai relawan di Project Pencil Singapore (PPSG), beliau berharap dapat membantu seramai 40 murid kurang bernasib baik di bawah jagaanya dan menyampaikan ilmu selain meningkatkan semangat mereka.

"Salah satu pengajaran berharga yang saya raih daripada Cik Sarimah Amat, pengasas PPSG, adalah ia menjadi tanggungjawab moral sebagai individu untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Oleh itu, saya rasa sebahagian daripada diri saya mahu memastikan anak-anak dan remaja yang saya bantu jaga ini tahu bahawa mereka mempunyai tempat bergantung tambahan jika mereka perlukannya," kata gadis berumur 22 tahun yang baru-baru ini berjaya meraih ijazah sarjana Summa Cum Laude dari Universiti Buffalo di SIM Global Education, dalam jurusan psikologi.

Mengulas tentang anugerah tersebut yang disampaikan oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Derrick Goh baru-baru ini, Cik Nur Ain Syakila berkata:

"Saya rasa amat berbesar hari atas sokongan yang ditunjukkan, walaupun saya tidak menjangka akan dicalonkan.

"Saya berharap dapat membantu lebih ramai orang dan meluaskan jangkauan saya melangkaui masyarakat di Yishun. Saya mahu dapat membantu lebih ramai keluarga di seluruh negara.

"Saya juga berharap saya boleh mendapatkan lebih ramai sukarelawan untuk jatuh cinta dengan usaha kami dan memberi motivasi kepada yang lain untuk turut menyumbang kepada masyarakat."

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg