Topik diikuti
Pergi ke BHkuRelawan di 4PM raih kemahiran hidup dengan menyumbang bantuan
Relawan di 4PM raih kemahiran hidup dengan menyumbang bantuan
ENCIK Mohamed Ismail Abdul Hakim pernah menerima sokongan daripada Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) ketika menuntut di sekolah menengah dahulu, dan selesai tamat pengajian beliau menyumbang kembali dengan menjadi relawan di sana. Bermula dari 1984, beliau terus bergelar relawan di persatuan itu hingga hari ini, dan tahun ini melepaskan jawatan timbalan presiden 4PM bagi memberi laluan kepada golongan pelapis. Menurut Encik Ismail, 50 tahun, tempoh hampir empat dekad yang telah beliau lalui sebagai relawan telah memberinya kegembiraan, membentuk dirinya menjadi orang yang rendah hati, dan melengkapinya dengan kemahiran hidup yang penting. "Apabila kita melakukan kerja relawan, kita bukan sekadar menghantar makanan atau mengendalikan program pementoran. Sebenarnya kita melibatkan diri kita dalam perancangan program itu dan membuat kira-kira bagi perbelanjaan yang diperlukan. Semua ini adalah kemahiran hidup penting, yang mungkin kita tidak dapat raih melalui pekerjaan biasa. Kemahiran ini kita timba sambil membantu orang lain," katanya. Encik Ismail diberi Anugerah Jasa Bakti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu majlis sebentar tadi di atas khidmatnya kepada masyarakat. Bapa dua anak itu berkata beliau terdorong untuk terus menyumbang tenaga dan masa di 4PM dan menjadi relawan selama puluhan tahun setelah melihat teladan dan kepimpinan di persatuan itu.