Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja maut dalam nahas motosikal selepas sahur

Apr 10, 2023 | 5:30 AM
Allahyarham Fairuz Roslan meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah teksi
Allahyarham Fairuz Roslan meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah teksi -

HASRAT Encik Fairuz Roslan berjemaah subuh bersama keluarganya pagi Khamis lalu, tidak kesampaian apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah teksi pada pagi itu.

Anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang meninggal dunia pada Jumaat itu sepatutnya menyambut ulang tahunnya yang ke-20 pada 14 April ini.

Semasa dihubungi, bapanya, Encik Roslan Kosli, 62 tahun, berkata anak bongsu tiga beradik itu telah keluar bersahur dengan rakan-rakannya dan sepatutnya pulang sebelum subuh - kegiatan yang biasa dilakukannya.

"Pagi itu, rumah saya diketuk oleh salah seorang jiran saya yang berkata beliau terlihat anak saya terlantar di jalan raya dekat Blok 424 Jurong West Avenue 1.

"Saya tetap tenang, dan hanya menantikan panggilan telefon daripada pihak berkuasa.

"Anak kedua saya kemudian ke tapak kemalangan namun tidak menemui adiknya di situ kerana beliau telah dibawa ke hospital, dan bertemu dengan pemandu teksi itu.

"Hanya sekitar 10 atau 11 pagi baru saya dapat panggilan tentang kemalangan tersebut," kata pekerja buruh itu lagi.

Menurutnya Allahyarham sudah mendapat lesen motosikal sejak dua tahun lalu.

Allahyarham Fairuz merupakan seorang anak yang baik dan sering membantu ibunya, Cik Murni Abdul Hussain, 57 tahun, seorang suri rumah, kata Encik Roslan.

"Setiap kali diminta membantu seperti bersihkan rumah atau mengurut ibunya, arwahnya tiada masalah lakukan semua itu.

"Beliau senang sekali dihampiri dan ramai sahabatnya," tambahnya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada Sabtu.

Menurut polis, seorang pemandu teksi berusia 35 tahun telah diberkas bagi kesalahan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan teruk.

Siasatan ke atas kemalangan yang berlaku pada 5.15 pagi itu masih dijalankan.

Menurut laporan Shin Min Daily News, teksi itu telah membuat satu pusingan 'U' apabila kemalangan tersebut berlaku.

Mereka yang melalui kawasan itu yang diwawancara berkata mereka melihat penunggang motosikal berdarah di hidung, selain mengalami kecederaan di buku lali dan kakinya.

"Saya hendak juga tahu bagaimana kemalangan itu berlaku.

"Ini meskipun saya reda dengan apa yang berlaku," jelas Encik Roslan dengan nada sedih.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg