Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja yang tular berhubung beg 'mewah' Charles & Keith kini bintangi kempen iklannya

Mar 5, 2023 | 4:57 PM
TULAR: Cik Zoe Gabriel, yang tular di media sosial berhubung beg 'mewah' Charles & Keith pada Januari kini bintangi kempen iklan jenama itu sempena Hari Wanita Antarabangsa (IWD).
TULAR: Cik Zoe Gabriel, yang tular di media sosial berhubung beg 'mewah' Charles & Keith pada Januari kini bintangi kempen iklan jenama itu sempena Hari Wanita Antarabangsa (IWD). - Foto TWITTER

REMAJA berusia 17 tahun, Cik Zoe Gabriel, yang tular di media sosial berhubung beg 'mewah' Charles & Keith pada Januari kini peragawati bagi jenama itu.

Beliau menyertai sekumpulan wanita lain daripada jenama fesyen tanah air itu dalam kempen Hari Wanita Antarabangsa (IWD) mereka, yang jatuh pada Rabu (8 Mac).

Menerusi laman Instagram beliau pada Sabtu (4 Mac), beliau berkata:

"Wanita adalah seperti bunga - masa kami dan keperluan kami untuk berkembang mungkin tidak selalu sejajar tetapi tidak mengapa.

"Kami ibarat bunga popi yang tumbuh di sebidang tanah dan teratai di tasik - pelbagai dan berani dalam perbezaan, indah dalam cara kita yang tersendiri."

Beliau turut berkongsi gambarnya bergaya dengan beg ungu model Alia jenama Charles & Keith yang berharga $75.90.

Beg itu merupakan edisi khas salah satu produk paling laris jenama tersebut. Charles & Keith, yang mempunyai 600 cawangan di serata dunia, akan menderma 20 peratus daripada hasil jualan beg itu kepada program 'Storytelling For Gender Equality' oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Wanita.

Cik Zoe, yang berpindah ke Singapura dari Filipina bersama keluarganya pada 2010, tular dalam satu video TikTok pada Januari.

Menerusi video itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada bapanya kerana menghadiahkan beg mewah pertamanya dan ghairah menunjukkan beg hitam berharga $79.90 itu, beg termahal yang pernah dimilikinya.

Namun, beberapa pengguna mengkritiknya kerana menganggap Charles & Keith sebagai jenama mewah.

Cik Zoe kemudian memuat naik video susulan dan menangis sambil menerangkan latar belakanganya yang sederhana dan bercakap tentang hak istimewa.

Anak sulung daripada keluarga empat beradik itu, yang bersekolah di rumah, kemudian diundang oleh Charles & Keith untuk melawat ibu pejabatnya dan makan tengah hari bersama pengasasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg