PADA usia 18 tahun, Cik Qasrina Rahman adalah antara pekerja termuda atau mungkin paling muda dalam industri yang dikenali sebagai 'pembersihan trauma'.
Malah, seawal usia 15 tahun, beliau sudah mula bekerja bersama ayahnya untuk membersihkan tempat kejadian melibatkan kes seperti mayat warga emas yang tinggal sendirian dan ditemui reput di rumah.
Sebagai pekerja pembersihan trauma, beliau bertanggungjawab membersihkan kekotoran dan kesan daripada mayat.
Bahkan, beliau juga pernah membersihkan rumah yang berlumuran darah menyusuli kes pembunuhan.
Beliau bekerja secara sepenuh masa bersama bapanya, Encik Rahman Razali, yang menubuhkan syarikat DDQ Services sejak 2015. Syarikat itu menawarkan pelbagai khidmat pembersihan, termasuk pembersihan trauma dan kelapuk (mold).
Cik Qasrina mula terlibat dalam pekerjaan tersebut secara tidak sengaja pada suatu hari sekitar tiga tahun lalu apabila seorang pekerja ayahnya tidak dapat hadir.
Beliau secara sukarela menawarkan untuk menggantikan pekerja ayahnya waktu itu.
"Sebelum ini, saya selalu dengar daripada ayah saya tentang kerja yang dilakukannya. Saya betul-betul nak tahu.
"Kali pertama saya buat kerja pembersihan itu, sebenarnya 'okey' juga. Cuma bimbang dan takut buat salah. Ayah saya pun terkejut saya dapat lakukan kerja itu," kata Cik Qasrina.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Merian itu kini sedang belajar selok belok perniagaan tersebut daripada ayahnya, dan berharap untuk meneruskan pengajian dalam perniagaan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
"Saya perlu ambil alih daripada ayah saya," kata Cik Qasrina, anak sulung dalam lima beradik.
Ramai rakan Cik Qasrina yang tahu tentang pekerjaannya itu tertanya-tanya jika beliau rasa geli atau jijik untuk melakukan kerja tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa memakai pakaian lengkap peralatan perlindungan peribadi (PPE) amat membantu untuk mengatasi kekotoran seperti bau daripada kesan reput.
Untuk memastikan bau itu tidak 'melekat', beliau dan bapanya biasanya terus pulang ke rumah untuk membersihkan diri selepas selesai menjalankan tugas tersebut.
Cik Qasrina akur ada yang mungkin kurang faham dan menganggap tugas itu sebagai berkaitan dengan 'nasib yang malang'.
Baginya, beliau melihat tugas itu sebagai satu tanggungjawab.
"Kami diberi amanah oleh keluarga si mati untuk selesaikan kerja pembersihan itu dan buatnya betul-betul.
"Apabila keluarga menghargai apa yang ayah dan saya lakukan, dan kami melihat sendiri kepuasan di wajah mereka, ia benar-benar menggembirakan saya," ujar Cik Qasrina.
Pengalaman selama tiga tahun melakukan tugas pembersihan trauma itu juga benar-benar mengubah pandangan remaja itu tentang erti dan nilai kehidupan.
"Dahulu, seperti ramai remaja lain, saya selalu keluar dengan kawan dan balik lambat.
"Setelah membuat kerja ini, saya lebih menghargai ibu bapa saya.
"Saya sedar kehidupan itu tidak dapat diduga. Seseorang mungkin ada rancangan untuk masa depan, tetapi ajal boleh menjemput bila-bila dan di mana-mana sahaja," ujar Cik Qasrina.
"Dahulu, seperti ramai remaja lain, saya selalu keluar dengan kawan dan balik lambat.
Setelah membuat kerja ini, saya lebih menghargai ibu bapa saya.
Saya sedar kehidupan itu tidak dapat diduga. Seseorang mungkin ada rancangan untuk masa depan, tetapi ajal boleh menjemput bila-bila dan di mana-mana sahaja.''
- Cik Qasrina Rahman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg