RRG sentiasa waspada
Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang dibentuk 18 tahun lalu bagi menangani ideologi ganas kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) masih terus memainkan peranannya membimbing masyarakat Singapura dari terpengaruh fahaman radikal. Memandangkan isu radikalisme ini sesuatu yang akan kekal berpanjangan, RRG perlu sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi landskap dan bentuk ancaman yang kian berubah. Dikhuatiri jika terdapat fahaman yang membawa kepada tindakan ganas
HAMPIR dua dekad telah berlalu sejak Singapura pertama kali berhadapan dengan ancaman kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Pada akhir 2001, kumpulan pertama anggota JI telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang serangan pengganasan di negara ini.
Penangkapan anggota JI ini berlaku hanya tiga bulan setelah kumpulan pengganas Al-Qaeda melancarkan serangan yang menjatuhkan bangunan Pusat Perdagangan Dunia (WTC) di New York. Serangan yang mengorbankan lebih 3,000 orang dilancarkan Al-Qaeda atas nama Jihad.
Dengan penangkapan JI ini, buat pertama kalinya masyarakat Islam Singapura didedahkan kepada ancaman pengganasan yang didasari naratif agama. Disebabkan penggunaan agama oleh kumpulan pengganas seperti JI, Singapura memerlukan respons yang bersifat menyeluruh dan strategik termasuk keperluan menangani ideologi ganas yang dipegang kumpulan tersebut.
PROGRAM PEMULIHAN KEAGAMAAN
Beberapa asatizah mapan telah tampil kehadapan memikul tugas memulih fahaman tegar anggota JI secara sukarela. Mereka telah membentuk Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang ditubuhkan pada April 2003. Sehingga ke hari ini, RRG masih terus memainkan peranan penting dalam arena membidas fahaman radikal dan ganas.
Tugas RRG tidak tertumpu hanya kepada memberikan kaunseling keagamaan kepada mereka yang ditahan di bawah ISA sahaja. Sejak 2005 lagi, RRG telah mula mendekati masyarakat dengan pelbagai program pendidikan melalui wadah seperti forum, ceramah, seminar, dialog, konvensyen dan sebagainya.
Matlamat utama dari usaha-usaha ini hanya satu - memastikan masyarakat Islam tidak terpengaruh dengan ideologi radikal dan bahaya seperti yang dipelopori kumpulan JI, Al-Qaeda dan ISIS.
Usaha mendidik masyarakat serta meningkatkan kesedaran tentang bahayanya fahaman radikal seperti yang dijalankan RRG tidak boleh berhenti, malah perlu dipertingkatkan. Ini disebabkan ancaman tersebut tidak pernah reda dan masih berterusan. Landskap ancaman radikal secara global juga telah berubah dari masa ke masa.
EVOLUSI FAHAMAN RADIKAL
Ketika berhadapan dengan ancaman JI 15 tahun yang lalu, masyarakat Singapura didedahkan pula dengan satu lagi jenis ancaman yang berbeza sedikit iaitu fenomena individu menjadi radikal dengan sendirinya.
Fenomena ini mula dikenalpasti buat pertama kalinya pada 2007 apabila beberapa anak muda yang tiada kaitan dengan kumpulan pengganas seperti JI didapati menjadi radikal akibat terpengaruh dengan apa yang mereka dapati dari Internet.
Pada 2011 pula, apabila mulanya konflik dan perang saudara di Syria, terdapat segelintir warganegara Singapura yang terpengaruh dengan diayah bahawa konflik di Syria itu adalah satu tuntutan jihad yang harus disahuti. Sebahagian dari mereka juga telah melakukan perjalanan ke Syria dengan membawa sekali keluarga mereka. Secara global, konflik di Syria pada ketika itu telah menarik perhatian lebih 12,000 Muslim untuk "berjuang" di sana.
Tiga tahun setelah mulanya konflik di Syria, kumpulan pengganas ISIS mengisytiharkan pembentukan khilafah di Syria buat pertama kalinya pada Jun 2014. Dengan pengisytiharan ini, ISIS berjaya menarik lebih ramai anak muda di seluruh pelosok dunia dengan ideologi ganas mereka yang diseliputi ajaran agama.
Tidak kurang juga warganegara Singapura yang kebanyakan di antara mereka anak-anak muda telah terpengaruh dengan diayah ISIS sejak 2014. Sebahagian besar dari mereka telah ditahan di bawah ISA kerana menunjukkan sokongan kepada ISIS dan ingin menyertai ISIS di Syria. Ada di kalangan mereka juga yang didapati merancang serangan pengganasan di sini.
RESPONS RRG
Melihat kepada evolusi dan perkembangan ancaman fahaman radikal sejak 18 tahun yang lalu hingga kini, RRG telah dan masih lagi cuba untuk menyesuaikan responsnya mengikut keadaan dan keperluan semasa. Penyesuaian ini amat penting agar RRG kekal relevan dan mampu untuk berhadapan dengan cabaran mendatang yang kian rumit.
Seawal 2007, RRG telah menubuhkan laman web rasminya. Selain dari berkongsi pengalaman melalui wadah ini, laman web RRG merupakan wadah utama untuk menyebarkan mesej damai dan bahaya fahaman radikal ketika itu.
Bermula dengan laman web, kini RRG mempunyai beberapa wadah dalam talian yang digunakannnya untuk mendekati dan membimbing masyarakat.
Ini termasuk (1) talian bantuan; (2) aplikasi telepon bimbit dan (3) wadah media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter.
Selain dari wadah dalam talian, penubuhan Pusat Sumber dan Kaunseling RRG (RCC) pada 2014, penerbitan makalah dan buku kecil serta program kesedaran untuk belia antara lain merupakan usaha RRG yang berterusan dalam menentang fahaman radikal di kalangan masyarakat.
Memandang ke hadapan, RRG kini dalam perbincangan dengan pihak-pihak tertentu untuk meluaskan lagi galeri Pusat Sumber RRG yang kian menerima ramai pengunjung setiap tahun sejak ia ditubuhkan 7 tahun lalu.
Dengan adanya infrastruktur yang lebih luas kelak, RRG berharap usaha menentang fahaman radikal dalam masyarakat ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan lagi. Ini amat penting kerana ancaman fahaman radikal ini yang sifatnya tidak statik memerlukan kewaspadaan dan perhatian kita yang berterusan.
PERLU SENTIASA BERWASPADA
Perkembangan politik dunia terus bergejolak. Tidak dinafikan ia boleh mendatangkan akibat yang buruk. Isu Islamofobia, penyebaran fahaman pelampauan, fahaman eksklusif dan sentimen anti-agama dijangka akan terus meruncing. Kesemua fahaman dan orientasi ini terbukti mampu membawa kepada perpecahan dan kemusnahan.
Begitu juga, dunia anak-anak kita terus tertumpu kepada media sosial yang mampu meresap ke dalam minda dan jiwa mereka secara nyata mahupun halus. Bilangan anak-anak muda yang menjadi radikal dalam talian juga semakin meningkat.
Penyebaran luas ideologi haluan kanan juga menjadi satu perkembangan baru yang membimbangkan. Penangkapan remaja 16 tahun baru-baru ini yang terpengaruh dengan ideologi haluan kanan menunjukkan bahawa isu radikal dalam talian ini memerlukan perhatian kita yang lebih serius.
Kewaspadaan adalah jalan paling baik untuk kita terus menangani isu radikalisme ini.
Kita harus berwaspada akan tren-tren masakini yang tidak dapat dijangkakan. Sikap berpeluk tubuh, mudah berpuas hati dan juga menafikan seriusnya ancaman radikal ini adalah sikap yang harus dielak sama sekali. Ini boleh membawa padah dan kemusnahan.
KESIMPULAN
Sebagai satu masyarakat yang progresif, kita harus sentiasa memandang kehadapan dan bersikap proaktif dan bukan reaktif. Begitu juga sikap inovatif juga penting dalam mewujudkan pendekatan dan respons yang segar dan lebih berkesan.
Harus difahami bahawa pengganasan bukan ancaman utama. Pengganasan hanyalah natijah dari orientasi dan fahaman yang boleh membawa kepada perbuatan ganas. Fahaman dan orientasi ini adalah ideologi kebencian, tegar, eksklusif dan sama sekali tidak menghargai nilai kemanusiaan dan kedamaian. Selagimana ideologi ini berleluasa dalam masyarakat, selagi itulah kita akan berhadapan dengan ancaman pengganasan yang berterusan.
Apa yang paling dikhuatiri ialah jika terdapat fahaman yang boleh membawa kepada tindakan ganas. Jika ini berlaku dan tidak ditangani awal, ia pastinya membawa kesan besar kepada keharmonian masyarakat dan negara.
Kewaspadaan harus menjadi prinsip utama kita. Sikap berwaspada inilah yang akan menyiapkan kita menghadapi segala cabaran yang mendatang. Sikap sambil lewa dan merasakan bahawa ancaman fahaman radikal ini sudah reda dan tidak serius adalah satu tanggapan yang tidak tepat.
Justeru itu, marilah kita terus meningkatkan kewaspadaan kita ini bak peribahasa Melayu yang mengingatkan bahawa air yang tenang jangan disangka tiada buaya.
Penulis ialah Naib Pengerusi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).
"Bermula dengan laman web, kini RRG mempunyai beberapa wadah dalam talian yang digunakannya untuk mendekati dan membimbing masyarakat. Ini termasuk (1) talian bantuan; (2) aplikasi talipon bimbit dan (3) wadah media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Selain dari wadah dalam talian, penubuhan Pusat Sumber dan Kaunseling RRG (RCC) pada 2014, penerbitan makalah dan buku kecil serta program kesedaran untuk belia antara lain merupakan usaha RRG yang berterusan dalam menentang fahaman radikal di kalangan masyarakat... RRG kini dalam perbincangan dengan pihak-pihak tertentu untuk meluaskan lagi galeri Pusat Sumber RRG yang kian menerima ramai pengunjung setiap tahun sejak ia ditubuhkan 7 tahun lalu." - Dr Mohamed Haji Ali

