Rentas sempadan: SG dan M'sia akan terus kerjasama
SINGAPURA akan terus bekerjasama dengan Malaysia untuk membenarkan warga masing-masing menyambung pergerakan rentas sempadan.
Namun ini hanya boleh dilakukan dengan protokol kesihatan awam yang dipersetujui kededua negara demi melindungi kesihatan awam dan keselamatan warga masing-asing, sementara mengambil kira sumber perubatan yang ada di kededua negara, kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan.
Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) antara Singapura dengan Malaysia kini ditangguh tiga bulan, bermula 1 Februari, dan Dr Vivian berkata aturan ini akan disemak lagi di akhir tempoh penggantungan.
RGL dan Aturan Pergerakan Bertempoh bagi pergerakan pekerja dan perniagaan khidmat penting serta perjalanan rasmi Singapura-Malaysia dilancarkan pada 10 Ogos tahun lalu, sejurus selepas Dr Vivian mengadakan pertemuan di Tambak dengan rakan sejawatan dari Malaysia Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
Memberi contoh kerjasama antara kededua pemerintah untuk membantu rakyat masing-masing pulang semasa pandemik ini dan membenarkan pergerakan rentas sempadan bagi individu atas sebab belas kasihan, Dr Vivian, yang menyifatkan Datuk Hishamuddin sebagai rakan baik selama dua dekad, berkata:
"Kita telah bekerjasama baik dengan Malaysia bagi langkah perlindungan Covid-19 masing-masing untuk memastikan syarikat, pekerja dan rakyat kita, serta peralihan bekalan dan barangan rentas sempadan terjejas pada tahap paling rendah."
Menyertai perbahasan belanjawan Kementerian Ehwal Luar, Menteri Kedua (Ehwal Luar) Dr Mohamad Maliki Osman berkata hubungan Singapura dengan Malaysia bak aur dengan tebing.
"Meskipun isu-isu timbul dari masa ke masa, kita telah menanganinya secara membina," kata Dr Maliki.
"Kita tidak boleh meremehkan kerjasama ini," tambahnya.
Dr Maliki juga berkata hubungan antara Singapura dengan Indonesia terus kukuh dan mendalam semasa pademik, termasuk mengadakan pertukaran peringkat tinggi.
Hubungan Singapura-Brunei pula istimewa dan dibina atas kepercayaan strategik jangka panjang.

