Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Replika Menara Eiffel jadi tarikan di bandar Lahore

Jadi tanda kebanggaan dan kesayangan rakyat Pakistan
Nov 10, 2024 | 5:30 AM
Menara Eiffel Bahria Town Lahore di waktu malam, menjadi lambang kemewahan dan kemegahan penduduk di bandar itu.
Menara Eiffel Bahria Town Lahore di waktu malam, menjadi lambang kemewahan dan kemegahan penduduk di bandar itu. - Foto BM oleh ISMAWATI ISMAIL

Pepatah manusia merancang, tetapi Tuhan yang menentukan cukup bermakna kepada diri saya.

Pada awalnya, saya dan teman kembara berhasrat untuk bercuti dan melihat monumen gah berwarna putih, Taj Mahal, yang merupakan salah satu daripada tujuh keajaiban dunia, atau Seven Wonders of the World, di Agra, India.

Namun perancangan ke negara Asia Selatan itu perlu ditangguhkan dahulu dan kami berdua berkunjung ke Lahore, Pakistan, yang terletak tidak jauh dari negara asal yang ingin kami lawati.

Walaupun ini kali kedua saya mengembara ke Pakistan, keindahan serta infrastruktur di Lahore jauh lebih teratur, bersih sedikit dan dilihat lebih moden dan canggih berbanding bandar lain di negara itu.

Malah tempat-tempat menarik untuk bergambar, restoran mewah dan pusat beli-belah yang besar juga mudah didapati dengan harga yang agak berpatutan.

Antara bandar bersejarah yang penuh dengan warisan seni yang menawan adalah Benteng Lahore atau Lahore Fort, Masjid Badshahi yang siap dibina pada 1673, Taman Shalamar serta Walled City of Lahore.

Muzium Lahore serta Bazar Anarkali juga ‘satu kemestian’ untuk dikunjungi dan beberapa lagi tempat lain yang menarik hati pengunjung.

Terdapat juga banyak seni bina lama zaman Empayar Mughal yang masih dikekalkan dan terpelihara dan kini menjadi daya tarikan orang ramai.

Menara Eiffel di bumi Pakistan?

Mungkin agak sukar dipercayai, tetapi Pakistan juga mempunyai Menara Eiffel yang dikenali sebagai Eiffel Tower Bahria Town Lahore.

Meskipun hanya replika, menara ini menyerupai Menara Eiffel yang dibina pada 1889 dan menjadi simbol ikonik di Paris dan menarik berjuta-juta pelawat setiap tahun.

Replika Menara Eiffel di Lahore ini dikonsepkan oleh pengasas Bahria Town, Encik Malik Riaz, dengan visi untuk mencipta mercu tanda unik serta mentakrifkan semula konsep kehidupan mewah dan megah di Pakistan.

Setelah ditunda bertahun-tahun lamanya, pembinaan menara itu akhirnya siap pada tahun 2019, dengan ketinggian 80 meter, berbanding ketinggian menara asal, iaitu 330 meter.

Replika Menara Eiffel itu menjadi tanda kebanggaan dan kesayangan rakyat Pakistan, khususnya bagi golongan muda dan pengunjung setempat.

Ziarah rumah tumpangan anak yatim

Penulis juga sempat mengunjungi rumah tumpangan anak yatim SOS Children’s Village Lahore di Ferozepur Road.

SOS Children’s merupakan pertubuhan bukan pemerintah yang menyediakan penjagaan dan sokongan kepada kanak-kanak yatim piatu, terbiar di jalanan dan terpinggir dari keluarga atau pengasuh mereka.

Pertubuhan itu beroperasi di 17 bandar di seluruh negara dan merupakan tempat di mana kanak-kanak boleh membesar dalam keadaan yang selamat, stabil dan penuh kasih sayang.

Mereka juga menerima penjagaan jangka panjang, pendidikan, penjagaan kesihatan dan sokongan emosi.

Selain itu, SOS Children’s Village turut menawarkan program pengukuhan keluarga untuk menyokong ibu tunggal yang bekerja.

Misi pertubuhan itu adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak di Pakistan mempunyai persekitaran yang selamat dan terjamin serta peluang mencapai potensi mereka.

Menurut Pengarah di SOS Children’s Village Lahore, Cik Almas Butt, setakat ini pihak mereka sudah menerima lebih 120 kanak-kanak yang dihantar ke pertubuhan itu semasa mereka bayi.

Mereka kekal di sana sehingga tamat pengajian dan ada juga (segolongan wanita) yang tinggal di rumah tersebut hingga mereka berumah tangga.

“Rumah tumpangan di SOS Children’s Village ini bukanlah badan pemerintah, namun kami akan memastikan semua keperluan dan kepentingan kanak-kanak ini terpelihara. Ada juga kanak-kanak ini pada asalnya dijumpai berkeliaran, tanpa rumah, tanpa perlindungan, tanpa kasih sayang dan ada juga menjadi gelandangan di usia muda.

“Kami beriltizam dan ingin melihat kanak-kanak ini berjaya, mempunyai masa depan yang baik dengan kehidupan yang lebih terjamin,” jelas Cik Butt.

Perarakan keagamaan di tepi jalan raya

Tanpa saya sedari, perarakan keagamaan kecil sedang berjalan ketika kami sedang bercuti di sana.

Walaupun dalam keadaan aman, mereka yang menyertai perarakan itu – terdiri daripada kanak-kanak, kaum wanita dan lelaki – turut melaungkan beberapa ayat-ayat keagamaan di tepi jalan raya sambil menuju ke pusat mereka.

Kami diberitahu oleh pegawai pelancongan yang mengiringi lawatan ini, Encik Hafiz Muhammad Ali, perarakan tersebut begitu lazim diadakan di Lahore dan biasanya dilakukan sempena menjelang Hari Asyura atau 10 Muharam; bulan pertama dalam tahun Hijrah.

Melihat perarakan itu secara langsung merupakan kemuncak percutian saya di Lahore.

Peribahasa menyatakan jauh perjalanan, luas pemandangan, yang bermakna jika seseorang itu banyak merantau, banyak perkara yang dapat dilihat.

Walaupun percutian ini terjadi tanpa perancangan terperinci, keindahan dan kenangan manis yang dicipta tetap menusuk di kamar hati.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg