Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Resort World Sentosa labur $.6.8b bagi pembangunan tepi pantai

Dibuka jelang 2030, ia akan punyai jejak gunung setinggi 88 meter, dua hotel mewah baru dengan 700 bilik
Nov 15, 2024 | 2:53 PM
Foto ilustrasi pembangunan kompleks gaya hidup tepi pantai baru Resorts World Sentosa (RWS), yang akan siap dibina jelang 2030.
Foto ilustrasi pembangunan kompleks gaya hidup tepi pantai baru Resorts World Sentosa (RWS), yang akan siap dibina jelang 2030. - Foto RWS

Menjelang 2030, pengunjung ke Sentosa akan disambut dengan landskap baru yang menampilkan deretan bangunan dihiasi kehijauan serta tiang cahaya berkilauan, termasuk jejak gunung setinggi 88 meter yang memberi pengunjung pengalaman unik.

Pembaruan ini merupakan sebahagian daripada kompleks gaya hidup tepi pantai baru Resorts World Sentosa (RWS).

Majlis pecah tanahnya diadakan pada 15 November.

Projek bernilai $6.8 bilion oleh Genting Singapore untuk menaik taraf RWS termasuk membangunkan dua hotel baru dengan 700 bilik, gantikan Hard Rock Hotel dengan hotel mewah yang hanya menawarkan bilik suite jelang 2025.

Projek ini akan menambah keluasan keseluruhan RWS sebanyak 50 peratus, lapor The Straits Times

Kerja-kerja penambahbaikan fasa pertama, yang tertumpu kepada tarikan bukan permainan, bermula sejak 2022.

Antara tarikan baru yang bakal dibuka termasuk Harry Potter: Visions of Magic yang akan dilancarkan pada 22 November; Minion Land di Universal Studios Singapore pada suku pertama 2025; dan Singapore Oceanarium dijadualkan dibuka pada separuh pertama 2025.

Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, memuji langkah yang diambil resort bersepadu (IR) dalam berinovasi dan memperbaharui tawaran mereka “untuk kekal di hadapan, terutama dengan persaingan global yang semakin sengit.”

Memperluaskan tawaran tarikan, makanan dan minuman, serta projek dan tawaran Mice (mesyuarat, insentif, persidangan, dan pameran) dan hiburan, “telah mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai destinasi Mice dan rekreasi utama,” tambah Encik Tan.

Kedua-dua IR Singapura, RWS dan Marina Bay Sands (MBS) yang dibuka pada 2010, sedang giat memperluas tawaran layanan pelanggan mereka, dan menjalankan kerja naik taraf besar-besaran untuk menarik lebih ramai pengunjung. 

Pada 7 November, MBS mengumumkan pengubahsuaian sebanyak 1,540 bilik, serta peluasan pilihan makan dan kesihatannya, dan menambahbaik lobinya – yang merupakan sebahagian daripada pelan pelaburan semula bernilai AS$1.75 bilion ($2.3 bilion) bermula sejak 2022.

Pembangunan tepi pantai baru RWS pula akan menampilkan arca cahaya setinggi 88 meter rekaan Heatherwick Studio dari London, lengkap dengan pertunjukan cahaya setiap malam. 

Pengunjung juga boleh mendaki jejak gunung setinggi 88 meter yang menawarkan pemandangan panorama Sentosa, Greater Southern Waterfront (GSW), dan Kawasan Pusat Bandar (CBD).

Menurut Encik Tan, peluasan RWS akan “terus menyumbang kepada kejayaan dan pertumbuhan sektor pelancongan (Singapura) serta memberi sebab baru untuk para pelancong baru serta warga Singapura mengunjunginya.”

Sektor pelancongan Singapura sedang pulih dengan kukuh.

Ia mencatatkan seramai 13.9 juta pengunjung setakat 31 Oktober, dan hampir mencapai ramalan 15-16.5 juta pengunjung bagi 2024 oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB). 

Keuntungan dari sektor pelancongan bagi 2024 dijangka mencapai rekod antara $27.5 bilion hingga $29 bilion.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg