Topik diikuti
Pergi ke BHkuRespons HDB terhadap laporan AGO
Respons HDB terhadap laporan AGO
Respons HDB terhadap laporan AGO

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mengakui pemerhatian dalam laporan Pejabat Juruaudit Negara (AGO) yang merangkumi tempoh dari 1 April 2022 hingga 31 Mac 2025.
HDB berkata ia memandang serius penemuan AGO dan telah mengambil langkah segera untuk membetulkan penyelewengan yang dikenal pasti, dan memperkukuh proses dan kawalannya, bagi mengekalkan piawaian tadbir urus dan kebertanggungjawaban yang tinggi dalam pengurusan projek dan operasinya.
Menyentuh kelemahan pengurusan skim keutamaan dan geran perumahan seperti yang diutarakan laporan AGO, HDB berkata ia sudah pun memperkenal semakan tambahan ke atas alamat kediaman terhadap rekod ICA, untuk menyemak silang maklumat yang digunakan semasa menilai permohonan.
HDB bersetuju dengan AGO tentang keperluan memperkukuh semakan pengesahan pada transaksi Tempat Letak Kereta Bermusim (SP) dan Tempat Letak Kereta Bermusim Keluarga (FSP).
Oleh itu, ia akan memperkenalkan langkah-langkah seperti pemeriksaan penuh berkala terhadap maklumat kelayakan lain yang berkaitan dan menghendaki pemohon mengisytiharkan semasa permohonan bahawa mereka memenuhi kriteria kelayakan.
HDB berkata ia juga telah mengeluarkan surat amaran rasmi pada Mac 2026 atas pelanggaran kontrak dan telah memulakan pemulihan caj pentadbiran, yang merangkumi keseluruhan pembayaran yang dibuat untuk kerja-kerja yang tidak dilakukan.
Berikutan laporan AGO, HDB berkata ia segera menyemak sebut harga yang berkenaan untuk mengesahkan kesahihannya. Memandangkan kemungkinan penyelewengan dikenal pasti, HDB telah membuat laporan polis.
“HDB mengekalkan toleransi sifar terhadap sebarang percubaan untuk menjejas integriti proses perolehannya. HDB telah menyemak proses kami dan melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk memperkukuh pengurusan barangan kadar bintang dan meningkatkan keteguhan proses perolehan kami.
“Ini termasuk menggunakan alat analisis dokumen untuk memastikan sebut harga diperoleh daripada pembekal atau kontraktor bebas, dan memeriksa silang hubungan pembekal terhadap data pendaftaran korporat dan hubungan perniagaan untuk mengesan potensi konflik kepentingan,” kata HDB.
Ia juga telah membuat siasatan berikutan ketidakteraturan dalam rekod yang diberikan untuk audit dan mendapati kakitangan yang terlibat tidak berniat menghalang proses audit.
Namun, HDB akur membuat perubahan pada dokumen merupakan perkara serius.
“HDB telah mengambil tindakan disiplin terhadap kakitangan yang bertanggungjawab. HDB juga telah mengeluarkan surat amaran dan memberikan gred prestasi buruk kepada perunding, yang akan menjejas peluang tender masa hadapannya,” jelas HDB.
