Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Respons pemerintah S’pura kepada The Guardian

Oct 22, 2024 | 8:05 PM
dfa6e9cb-49d2-455c-9ee9-4b2072def6a8
-

Berikut respons penuh pemerintah Singapura kepada pertanyaan akhbar United Kingdom, The Guardian, yang didedahkan kepada umum pada 22 Oktober.

1. Kami merujuk kepada e-mel bertajuk ‘Pertanyaan media – permintaan The Guardian untuk mengulas tentang Lee Hsien Yang’ dan hasrat untuk menerbitkan laporan mengenai Encik Lee Hsien Yang telah diberikan suaka di United Kingdom.

2. Kami akan mengedarkan e-mel anda serta respons kami di bawah kepada pihak media pada 1 petang waktu tempatan, Selasa, 22 Oktober 2024.

3. Usulan bahawa Encik Lee Hsien Yang dan keluarga adalah mangsa penganiayaan yang “tidak berasas” itu sendiri adalah tanpa asas.

4. Anda merujuk kepada prosiding mahkamah dan tatatertib tertentu antara 2017 dengan 2020. Kami ketengahkan penemuan berikut daripada prosiding dan dokumen rujukan yang berkaitan:

a. Sebelum melaksanakan wasiat terakhirnya (17 Disember 2013), mendiang Lee Kuan Yew telah melaksanakan enam wasiat antara 20 Ogos 2011 dengan 2 November 2012. Mendiang Lee telah mengeluarkan “klausa perobohan” mengenai rumahnya di 38 Oxley Road daripada draf kelima dan draf wasiatnya. Ia telah dimasukkan semula ke dalam wasiat terakhir, yang disediakan oleh Cik Lee Suet Fern, isteri Encik Lee Hsien Yang.

b. Berbanding dengan draf keenam wasiat mendiang Lee yang dilaksanakan pada 2 November 2012, wasiat terakhir memberi Encik Lee Hsien Yang bahagian yang lebih besar daripada harta pusaka mendiang Lee.

c. Mahkamah Tiga Hakim, yang diketuai Ketua Hakim Negara, mendapati pasangan itu telah memutuskan hubungan peguam mendiang Lee dalam menyediakan wasiat terakhir, dan telah mendapatkan pelaksanaan wasiat terakhir dengan keadaan “tergesa-gesa secara tidak wajar”, iaitu dalam tempoh 16 jam.

d. Mahkamah Tiga Hakim mendapati Cik Lee telah “bertindak dengan tidak menghiraukan sepenuhnya kepentingan” mendiang Lee, dan telah “mengikuti arahan suaminya secara melulu, seorang benefisiari penting di bawah wasiat yang Cik Lee bantu pelaksanaannya secara tergesa-gesa”.

e. Mahkamah dan Tribunal Tatatertib yang dilantik oleh Ketua Hakim Negara untuk melihat kelakuan profesional Cik Lee, mendapati pasangan itu telah berbohong selepas bersumpah. Tribunal Tatatertib mendapati pasangan itu telah membentangkan “benteng pembohongan yang rumit,” baik secara bersumpah mahupun melalui kenyataan awam.

5. Disebabkan penemuan ini, polis memulakan siasatan ke atas pasangan itu untuk kesalahan yang mungkin timbul angkara keterangan palsu yang diberikan dalam prosiding kehakiman. Polis memberitahu pasangan itu pada 9 Jun 2022. Mereka meninggalkan Singapura pada 15 Jun, selepas mengesahkan dengan polis pada 13 Jun bahawa mereka akan ditemu bual pada 13 Julai. Pada 13 Julai, mereka tidak hadir untuk temubual mereka, dan memaklumkan kepada polis melalui hantaran e-mel bahawa mereka tidak akan mengambil bahagian dalam siasatan.

6. Tiada sekatan undang-undang ke atas Encik Lee Hsien Yang dan Cik Lee Suet Fern untuk kembali ke Singapura. Mereka bebas untuk kembali ke Singapura.

7. Tiada sekatan undang-undang terhadap anak lelaki mereka, Encik Li Shengwu, untuk pulang ke Singapura. Encik Li diperintahkan membayar denda kerana menghina mahkamah pada Ogos 2020, yang telah dilunaskannya. Dia tidak menghadap sebarang pertuduhan lain yang dikenakan Polis. Kenyataan menyinggung oleh Encik Li itu adalah serupa dengan kenyataan dalam International Herald Tribune pada 1994, yang juga didapati telah menghina mahkamah. Datuk Encik Li, mendiang Lee, telah menekankan bahawa kenyataan sedemikian mesti ditangani dengan tegas.

8. Seperti yang telah dinyatakan pemerintah Singapura dalam pelbagai ruang, di Parlimen dan wadah lain, Menteri Kanan (SM) Lee Hsien Loong telah lama menarik diri dalam semua perkara berkaitan dengan 38 Oxley Road. Beliau tidak terlibat apabila Kabinet membincangkan perkara ini. Dia juga tidak dirujuk oleh mana-mana agensi pemerintah dalam sebarang keputusan berkaitan dengan ahli keluarganya.

9. Pemerintah mengambil kira pandangan mendiang Lee mengenai 38 Oxley Road. Sungguhpun mendiang Lee lebih memilih merobohkan rumah itu, beliau juga sanggup mempertimbangkan pilihan lain seperti membaik pulih dan mereka semula bahagian dalaman.

10. Tiada asas kepada dakwaan lain yang telah disampaikan.

11. Badan kehakiman Singapura saksama dan membuat keputusan secara bebas. Inilah sebabnya warga Singapura mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap badan kehakiman.

a. Singapura menduduki tangga kelima dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa Transparency 2023, dan ketiga dalam indeks Projek Keadilan Dunia 2023 untuk ketiadaan rasuah dalam sistem perundangan dan penguatkuasaan undang-undangnya. Bagi United Kingdom, ia masing-masing menduduki tangga ke-20 dan ke-11.

b. Di Singapura, tiada individu yang lolos daripada undang-undang. Sesiapa sahaja, termasuk anak kepada Perdana Menteri Pengasas, mendiang Lee (Kuan Yew), boleh disiasat dan dihadapkan ke mahkamah.

12. Singapura mempunyai sistem yang teguh untuk menghalang dan menangani pengubahan wang haram dan aliran kewangan haram lain, konsisten dengan piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Pasukan Bertindak Kewangan. Singapura menduduki tangga keempat dalam Indeks Pusat Kewangan Global 2024 – selepas New York, London dan Hong Kong. Kami bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang kami, untuk memelihara integriti dan reputasi Singapura sebagai hab kewangan dan perniagaan yang dipercayai.

13. Penegasan bahawa manfaat pertumbuhan ekonomi Singapura tertumpu di tangan pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan sekutunya jauh daripada apa yang dilalui rakyat Singapura.

a. Lebih 80 peratus rakyat Singapura menetap di perumahan awam, dan sebahagian besarnya memiliki rumah sendiri.

b. 9 daripada 10 pesakit membayar kurang daripada $500 secara tunai bagi penginapan hospital awam bersubsidi.

c. 90 peratus kos pendidikan awam diberi subsidi. Menurut keputusan daripada Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) pada 2022, Singapura merupakan sistem pendidikan berprestasi tinggi dalam aspek Pemikiran Kreatif di kalangan 64 sistem yang turut serta. Pelajar Singapura dari isi rumah dengan status sosio-ekonomi rendah berprestasi lebih baik berbanding purata pelajar di negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

d. Dalam Indeks Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2022, Singapura menduduki tempat pertama dalam Asean, dan kesembilan keseluruhan daripada 193 negara.

e. Gaji sebenar pekerja persentil ke-20 telah meningkat secara kumulatif sebanyak 30 peratus dalam 10 tahun kebelakangan ini, lebih pantas daripada pekerja median, iaitu pada 22 peratus. Pekali Gini bertambah baik dalam dua dekad yang lalu, dan dasar pengagihan semula telah mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dengan lebih lanjut.

14. Kami telah memberikan anda pemetikan untuk setiap perkara dalam respons kami. Penemuan undang-undang disokong dengan baik oleh penemuan awam yang didokumentasikan dengan baik oleh badan kehakiman yang bebas.

15. Kami percaya bahawa The Guardian akan mempertimbangkan fakta-fakta yang telah kami berikan ini secara adil dan secara bertanggungjawab.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg