SERAMAI 21 individu telah diambil bagi memenuhi jawatan kepimpinan kanan sejak SPH Media dibentuk sebagai syarikat awam berhad yang dijamin (CLG) pada 2021.

Daripadanya, tiga datang langsung daripada syarikat Accenture, sementara lagi tiga mempunyai pengalaman di Accenture pada suatu ketika dalam perjalanan kerjaya mereka dan berada di syarikat lain sebelum menyertai SPH Media.

Seramai 15 lagi menyertai SPH Media daripada pertubuhan lain. SPH Media berkata demikian dalam satu memo dalaman yang dikirimkan kepada kakitangannya sebagai respons tentang komen awam yang mempersoalkan amalan pengambilan pemimpin kanannya daripada mantan kakitangan Accenture, sebuah syarikat khidmat teknologi maklumat dan perundingan.

"Semua pelantikan kakitangan dibuat setelah penilaian teliti bagi memastikan bahawa setiap individu mampu menyumbang secara berkesan.

"Kami akan terus merekrut individu yang mempunyai pengalaman, kemahiran dan perspektif berbeza untuk menambah dan memperkaya kumpulan bakat kami," tulis ketua sumber manusia (HR), Cik Maureen Wee, dalam memo tersebut.

Beliau menambah bahawa semua anggota keluarga SPH Media dihargai, tidak kira daripada mana mereka datang dan berapa lama mereka bersama kumpulan tersebut.

"Semua orang mempunyai peranan untuk dimainkan sedang kita mengemudi masa depan bersama," ujarnya.

Pada 1 Mac 2022, Cik Teo Lay Lim, mantan pengerusi Accenture Singapore, menggalas tanggungjawab sebagai ketua eksekutif SPH Media.

Perbincangan mengenai amalan pengambilan pekerja SPH Media ditimbulkan setelah nama-nama mantan kakitangan Accenture yang berada dalam pasukan pengurusan kanan SPH Media Trust disiarkan dalam satu catatan Facebook oleh mantan editor akhbar The Straits Times, Encik Leslie Fong.

Catatan Encik Fong itu telah mengundang reaksi bercampur. Sedang ada yang mempersoalkan langkah mengambil kakitangan kepimpinan kanan daripada syarikat yang sama, ramai yang turut menekankan ia adalah satu amalan korporat biasa dan lebih penting ialah sama ada individu-individu berkenaan dapat melakukan tugas mereka dengan baik.