Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) menerima cadangan yang dibuat Pejabat Juruaudit Negara (AGO) dan telah memulakan pemeriksaan terperinci terhadap kes-kes tersebut serta sudah mengambil tindakan sewajarnya.

AGO mendapati beberapa perusahaan yang bukan Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) telah disalah klasifikasikan dalam pentadbiran Sokongan Latihan Dipertingkat bagi SME (ETSS).

Kebanyakannya disebabkan oleh ralat logik sistem, kata SWDA, sambil menambah ia telah memulakan semakan dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab atas ralat tersebut.

SWDA juga telah segera menyelesaikan isu salah klasifikasi disebabkan penggunaan data kewangan yang salah.

Namun, ia menambah: “SWDA akan menghormati Geran ETSS yang diagihkan di bawah kes yang terjejas, kerana dana tersebut telah digunakan untuk menyokong latihan pekerja yang tulen dan memberi manfaat kepada pekerja tempatan,” jelasnya.

AGO juga mengenal pasti 15 pelatih yang menghadiri sejumlah besar kursus tajaan sendiri yang dijalankan oleh dua penyedia latihan, yang merupakan majikan mereka, menimbulkan kebimbangan bahawa penyedia latihan mungkin cuba meningkatkan kadar kehadiran kursus mereka, untuk menuntut lebih banyak pembiayaan yuran kursus.

“Meskipun dasar pembiayaan membenarkan pelatih yang ditaja sendiri untuk menghadiri kursus yang dijalankan oleh majikan atau syarikat mereka, kami mempunyai langkah kawalan seperti mewajibkan pembayaran bersama yuran kursus dan tidak membenarkan penyedia latihan membayar yuran bersih untuk kursus mereka sendiri, bagi memastikan latihan tersebut adalah sah.

“SWDA telah memulakan semakan terperinci terhadap kes-kes ini,” tambahnya.