Selepas menerima rayuan dan permintaan penduduk di kawasan Barat, yang mendambakan hidangan Restoran Hajah Maimunah, akhirnya keinginan mereka tercapai.
Baru-baru ini, Restoran Hajah Maimunah, destinasi kegemaran bagi mereka yang ingin menikmati hidangan tradisional Melayu, akhirnya membuka cawangan ‘mini’ kelima mereka di pusat makanan Boleh Boleh! yang terletak di tingkat empat Clementi Mall.
Cik Maria Didih, salah seorang pemilik generasi kedua, mendedahkan rancangan selanjutnya untuk membuka sebuah lagi cawangan ‘mini’ di pusat makanan Food Republic, Westgate sekitar pertengahan November.
Ditubuhkan pada 1992 oleh Cik Mahiran Abdul Rahman – yang menamakan restoran itu sempena nama ibunya, Hajah Maimunah Abdul Karim – perniagaan keluarga ini telah berkembang, bermula di rumah kedai Jalan Pisang sehingga menjadi usaha niaga yang berjaya dengan dua restoran dan lima cawangan ‘mini’.
Kini, Restoran Hajah Maimunah dikendalikan oleh pemilik generasi kedua keluarga ini, Cik Mastura Didih, 37 tahun yang kini berkhidmat sebagai pengarah urusan restoran. Dua adiknya, Cik Maria Didih, 36 tahun, menjadi pengurus operasi kedai dan restoran; dan Cik Maryam Didih, 27 tahun, pula bertanggungjawab dalam bahagian pemasaran.
Semasa wawancara dengan Berita Harian, Cik Maria, melahirkan rasa “amat terharu melihat pelanggan yang meluahkan rasa terima kasih mereka pada kami kerana membuka cawangan yang dekat dengan rumah mereka”.
Walaupun gerai itu dibuka dari 10 pagi hingga 9 malam, pelanggan-pelanggan sudah bersemangat beratur seawal 9.30 pagi, kata Cik Maria yang akan membantu mengendalikan gerai baru itu pada dua minggu pertama ini, untuk memastikan operasi berjalan dengan lancar dan stabil.
Setelah setahun mencari lokasi yang sesuai untuk membuka cawangan di kawasan Barat, ketiga adik-beradik itu tidak teragak-agak untuk mengambil peluang emas ini untuk membuka cawangan di Pusat Makanan Boleh Boleh! pada September kerana suasananya yang meriah dan lokasi menarik itu.
Cik Maria juga puas bekerjasama dan berkomunikasi dengan pihak pengurusan Boleh Boleh! yang cekap dan responsif.
Empat cawangan ‘mini’ yang lain terletak di Tampines Mall, City Square Mall di Farrer Park, Hong Leong Building di Raffles Place, Ibu Pejabat Koufu di 1 Woodlands Height dan Blk 925 Yishun Central 1.
“Banyak yang kami pelajari sejak pelancaran pertama cawangan mini ini, dan kini kami boleh jangkakan permintaan dan stok yang patut kami sediakan.
Berbanding restoran utama yang menerima kira-kira 1,000 pelanggan sehari, cawangan mini menerima kira-kira 400 hingga 600 pelanggan sehari,” tambah beliau.
Restoran dalam senarai Michelin Bib Gourmand 2023 – yang mengiktiraf restoran dengan makanan luar biasa pada harga yang berpatutan – telah berjaya mengekalkan mutu makanan kerana “terdapat dapur pusat yang menyediakan rencah untuk hidangan rendang yang terkenal di restoran ini, yang kemudiannya dibekalkan ke semua cawangan ‘mini’. Hidangan lain seperti sayur-sayuran, hidangan bergoreng dan hidangan siput dimasak di dapur cawangan masing-masing”.
Ibu kepada tiga anak yang mempunyai ijazah dalam bidang teologi dari Universiti Malaya juga berkata bahawa kini terdapat kira-kira 100 kakitangan secara keseluruhan untuk kesemua cawangan Restoran Hajah Maimunah. Bagi setiap cawangan mini baru, Cik Maria perlu mengambil upah kira-kira enam lagi kakitangan.
“Rancangan untuk memperluaskan perniagaan kami tidak berhenti di sini. Dalam masa lima tahun akan datang, saya mempunyai matlamat untuk membuka sejumlah 15 lagi cawangan di serata Singapura supaya semua pelanggan setia kami dapat menikmati makanan kami dengan lebih mudah,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg