Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rezeki berganda bagi keluarga penerima zakat Persatuan Muhammadiyah

May 2, 2021 | 5:30 AM
TERIMA HABUAN: Sekitar 700 keluarga memerlukan menerima habuan kuih Hari Raya dan wang zakat oleh Persatuan Muhammadiyah semalam supaya mereka dapat membuat persiapan bagi bulan Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi. - Foto BH oleh ROSLEE ABDUL RAZAK
TERIMA HABUAN: Sekitar 700 keluarga memerlukan menerima habuan kuih Hari Raya dan wang zakat oleh Persatuan Muhammadiyah semalam supaya mereka dapat membuat persiapan bagi bulan Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi. - Foto BH oleh ROSLEE ABDUL RAZAK -

REZEKI datang berganda Ramadan ini bagi keluarga penerima zakat Persatuan Muhammadiyah.

Setelah menerima habuan untuk Ramadan sebelum puasa bulan lalu, mereka semalam disampaikan pula habuan Hari Raya.

Sekitar 700 keluarga penerima zakat persatuan itu menerima habuan kuih Hari Raya dan wang zakat untuk membantu keluarga yang memerlukan itu membuat persiapan bagi bulan Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Jumlah 700 keluarga itu termasuk mereka yang mengalami masalah kewangan disebabkan pengangguran akibat masalah kesihatan, ibu atau bapa tunggal, warga emas, atau mereka yang amat terjejas oleh pandemik Covid-19.

Sekitar 400 daripada mereka telah mengunjungi ibu pejabat persatuan itu sendiri di Jalan Selamat untuk mengambil habuan tersebut.

Bagi bakinya, habuan itu dihantar ke rumah mereka oleh sekitar 40 relawan. Benefisiari ini merupakan mereka yang memerlukan bantuan tambahan, seperti mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan warga emas.

Setiausaha Umum Persatuan Muhammadiyah, Cik Roszanah Abdul Salim, berkata pihaknya telah membelanjakan hampir $150,000 bagi pengagihan habuan kuih Hari Raya dan wang zakat kepada 700 keluarga itu semalam.

"Kali ini, kami berikan sedikit barangan untuk Hari Raya dengan wang tunai juga untuk meringankan sedikit sebanyak apa yang mereka perlu belanjakan untuk membuat persiapan di bulan Syawal ini.

"Dengan sedikit sebanyak barang dan juga wang yang kami beri ini, kami berharap ia dapat memberikan satu sinaran kepada mereka agar mereka tidak rasa keseorangan dalam menyambut Hari Raya dan mereka tahu ada orang yang prihatin dengan keadaan mereka.

"Walaupun jumlahnya tidak begitu banyak, kami harap mereka dapat merasakan kemeriahan Hari Raya," kata beliau.

Kumpulan 700 keluarga itu sebelum ini juga telah menerima beg habuan mengandungi keperluan makanan harian seperti beras, minyak masak dan minuman sebelum Ramadan supaya mereka dapat membuat persiapan untuk menjalankan ibadah puasa.

Antara mereka yang menerima habuan Ramadan itu dan juga habuan kuih Hari Raya dan wang zakat itu semalam ialah Cik Rahmah Alwi, 58 tahun.

Cik Rahmah telah berhenti bekerja sebagai penjual kuih-muih Melayu sejak setahun lalu disebabkan masalah kesihatan dan kini bergantung pada abang dan anak-anaknya.

"Ia meringankan sikit beban kita. Dulu masa saya kerja, tak rasa sangat. Tetapi bila dah tak kerja itu, baru terasa (bebannya)," kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg