Cuaca lebih panas kebelakangan ini disyaki menyebabkan ribuan ikan mati di perairan berhampiran jeti Lim Chu Kang dan ladang menternak ikan berhampirannya.
Pegawai perhubungan di Persatuan Penternak Ikan Singapura Simon Ho berkata ikan mula timbul di kawasan itu sekitar dua tiga hari lalu.
"Saya percaya ikan mati kerana suhu lebih tinggi, yang menyebabkan kandungan oksigen dalam air merosot." kata Encik Ho.
Menambah, beliau berkata penternak ikan di kawasan itu menghantar motobot untuk mengutip dan membuang bangkai ikan.
Sekitar empat atau lima ladang ternakan terjejas, dengan masing-masing berkata mengalami kerugian antara $3,000 dengan $4,000, atau secara purata, sekitar satu atau dua tan ikan.
Menurut Encik Ho, kematian seperti ini biasanya berlaku 'satu dua kali' setahun dan bukan perkara 'luar biasa'.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg