Pakar: Vaksin Covid-19 selamat bagi penghidap penyakit kronik
Pakar: Vaksin Covid-19 selamat bagi penghidap penyakit kronik
Vaksinasi Covid-19 sedang giat dijalankan di Singapura, dengan usaha bagi kakitangan penjagaan kesihatan yang bekerja di barisan depan dan pekerja pengangkutan telah dimulakan. Projek perintis bagi warga emas juga telah dimulakan di Ang Mo Kio dan Tanjong Pagar, sebelum diluaskan kepada warga emas dan kemudian penduduk lain secara berperingkat. Ikuti soal jawab BERITA HARIAN dengan seorang pakar, Profesor Madya Lim Poh Lian, mengenai vaksin Covid-19, termasuk aspek keselamatannya
Soalan: Apakah vaksinasi Covid-19 selamat bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, kolesterol tinggi dan kencing manis?
Jawapan: Ya, vaksinasi Covid-19 selamat bagi mereka yang menghidap darah tinggi, kencing manis atau kolesterol tinggi dan penyakit kronik lain.
Mereka tidak mempunyai peningkatan risiko kesan sampingan vaksin. Ini berdasarkan kajian Fasa 3 yang telah dijalankan dan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada vaksin yang telah diberi kepada berjuta-juta penduduk di Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara lain.
Soalan:Berapa lama saya harus menunggu selepas vaksinasi untuk saya hamil?
Bolehkah saya diberi vaksin sekiranya saya mengandung?
Jika saya sudah menerima satu dos vaksin, apakah saya perlu melengkapkannya jika saya mendapati saya hamil?
Jawapan: Sebaiknya tunggu sebulan selepas dos kedua vaksin sebelum berusaha untuk hamil.
Jika anda sedang hamil, anda tidak layak mendapatkan vaksinasi ini kerana tidak mencukupi data pada masa ini untuk mengesyorkan vaksinasi itu bagi wanita hamil.
Jadi, adalah baik mendapatkan vaksin sebelum berusaha untuk hamil, jadi anda sudah terlindung daripada Covid-19 selama kehamilan anda.
Sekiranya anda sudah menerima satu dos vaksin, dan kemudian mengetahui bahawa anda hamil, anda boleh melengkapi dos kedua selepas kelahiran anak anda.
Apakah vaksin selamat bagi ibu menyusu dan bayinya?
Vaksin ini tidak mengandungi virus hidup, dan oleh itu adalah selamat untuk penyusuan ibu dan bayi mereka.
Wanita yang sedang menyusu boleh diberi vaksin.
Sebagai langkah berhati-hati, kami menasihatkan wanita agar menimbangkan untuk menangguhkan menyusukan bayi selama lima hingga tujuh hari setelah mendapat vaksin itu.
Bagaimanapun, jika seseorang wanita berasa bahawa ia tidak mengganggu penyusuan susu ibu, beliau harus terus mendapatkan vaksin itu.
Kelebihan memberi vaksin itu kepada ibu menyusu ialah antibodi ibu dipindahkan ke dalam susu ibu dan ini berpotensi memberi perlindungan kepada bayi.
Apakah saya perlu diuji bagi Covid-19 sebelum mengambil vaksin?
Tidak, anda tidak perlu diuji bagi Covid-19 sebelum mengambil vaksin.
Adakah tempoh tunggu minimum bagi mereka yang menjalani vaksinasi lain dalam masa terdekat sebelum mendapat vaksinasi Covid-19?
Ya, jika anda baru saja menjalani vaksinasi lain, anda harus tunggu 14 hari sebelum mendapatkan vaksinasi Covid-19. Begitu juga, setelah menyelesaikan vaksinasi Covid-19, anda harus tunggu 14 hari selepas dos kedua sebelum mendapat vaksin lain.
Bolehkah pesakit Covid-19 yang pulih mendapatkan vaksin?
Ya, pesakit Covid-19 yang pulih boleh mendapatkan vaksin. Bagaimanapun, pengetahuan semasa menunjukkan bahawa perlindungan daripada Covid-19 berkemungkinan bertahan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan selepas jangkitan.
Oleh itu, kami mengesyorkan mereka yang telah pulih daripada Covid-19 supaya memberi laluan kepada orang lain untuk diberi vaksin terlebih dahulu.
Berapa lama masa yang diperlukan untuk membina kekebalan terhadap Covid-19 setelah menerima dos pertama vaksin?
Perlindungan maksimum bagi orang yang diberi vaksin tidak akan berkembang sehingga dua minggu selepas dos kedua.
Dos kedua juga diperlukan agar imuniti pelindung dapat bertahan selama mungkin.
Bolehkah saya divaksinasi tanpa mengira usia?
Kanak-kanak berumur bawah 16 tahun tidak layak mendapat vaksinasi Covid-19 pada masa ini kerana tidak ada data mencukupi untuk mengesyorkannya.
Sebab lain anda mungkin tidak dapat diberi vaksin pada masa ini termasuk kehamilan atau mempunyai sistem imun lemah.
Sekiranya anda menghidap barah aktif, menjalani kemoterapi barah, terapi radiasi, atau imunoterapi, anda dinasihatkan tidak mendapat vaksin pada masa ini.
Mereka yang berada pada peringkat akhir jangkitan HIV dengan jumlah sel CD4 sangat rendah, dan orang yang menjalani pemindahan organ dalam tiga bulan terakhir juga dinasihatkan tidak mendapatkan vaksin semasa keadaan sistem kekebalan mereka lemah (immunocompromised).
Bentuk pengimunotindasan (imunosupression) lebih ringan, termasuk orang yang mengambil steroid, ubat imunotindasan tertentu untuk rheumatoid arthritis atau penyakit autoimun lain, selamat menerima vaksinasi Covid-19.
Oleh kerana terdapat pelbagai keadaan perubatan dan rawatan, kami mengesyorkan anda berbincang dengan doktor yang merawat anda apakah anda sesuai mendapat vaksin Covid-19.
- Profesor Madya Lim Poh Lian adalah Pengarah Unit Pengasingan Tahap Tinggi (HLIU), Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID); Ketua Klinik Kesihatan Pengembara dan Vaksinasi, Hospital Tan Tock Seng (TTSH).
RISIKO TIDAK BERTAMBAH
"Mereka (pesakit kronik) tidak mempunyai peningkatan risiko kesan sampingan vaksin, ini berdasarkan kajian Fasa 3 yang telah dijalankan dan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada vaksin yang telah diberi kepada berjuta-juta penduduk di Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara lain." - Profesor Madya Lim Poh Lian.


