SETELAH lima tahun berjuang melawan penyakit sarafnya, mantan penyampai berita dan pengacara, Riz Sunawan, atau nama sebenarnya Mohammad Asri Sunawan, menghembuskan nafas terakhir pagi semalam pada usia 44 tahun.
Semasa hayatnya, Riz, yang juga merupakan mantan ketua perhubungan strategik di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), merupakan pejuang penyakit saraf motor neuron (MND), atau lebih dikenali sebagai Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS).
Ketika ditemui Berita Harian (BH), bapa Allahyarham, Encik Sunawan Dasuri, 73 tahun, berkongsi bahawa kali terakhir beliau bersama anaknya itu adalah ketika mereka solat subuh bersama semalam, beberapa jam sebelum Riz menyambut seruan Ilahi.
"Kami berdua sentiasa solat subuh dan maghrib bersama walaupun beliau dalam keadaan terbaring," kata Encik Sunawan.
Allahyarham difahamkan meninggal dunia di rumahnya, yang terletak di Chai Chee Avenue, apabila pembantu rumahnya menyedari bahawa nadi Allahyarham tidak lagi berdenyut sekitar 10 pagi.
Punca kematiannya adalah disebabkan MND.
Dalam ucapan takziahnya, Presiden Halimah Yacob menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai "satu kehilangan besar kepada masyarakat".
"Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai seorang pejuang Bahasa Melayu melalui penglibatannya dengan Majlis Bahasa Melayu Singapura.
"Allahyarham juga penyokong kuat golongan kurang upaya dan telah membantu menubuhkan Persatuan Penyakit Saraf Motor Singapura (MNDa).
"Saya bertemu Allahyarham tahun lalu apabila MNDa mengadakan kunjungan ke Istana dan semasa majlis pelancaran buku tulisannya yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit yang dialaminya," kata Puan Halimah dalam pos yang dimuatnaiknya di Facebook.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam pos Facebooknya, pula berkata walaupun Riz menanggung penyakit yang melemahkan badannya, Allahyarham tetap bertekad dan terus menyumbang kepada masyarakat semampunya.
"Ketabahan, sikap positif dan sumbangannya kekal menjadi inspirasi buat kita semua untuk meneruskan usaha kita mempertingkat dan menyumbang semula kepada masyarakat, dan melebihnya itu," tulis beliau.
Antara yang mengunjungi keluarga Allahyarham ialah Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Menyifatkan Riz sebagai seorang insan yang positif dan sentiasa ambil berat terhadap orang lain sedangkan dirinya sendiri menanggung penyakit, Dr Nazirudin berkata pemergian Allahyarham meninggalkan kesan yang amat mendalam.
"Memang daripada pengalaman kami berhubungan dengan Riz sejauh ini, beliau seorang insan yang luar biasa.
"Masih muda tetapi diuji Allah swt dengan penyakit yang melumpuhkan beliau tetapi semangat beliau untuk terus memberi sumbangan, berhubung dengan masyarakat, berinteraksi dengan orang, segala keprihatinan yang ditunjukkannya itu tidak pernah pudar," ujar Dr Nazirudin.
Bahkan, sehingga saat-saat terakhir pun Riz masih terus bekerja, mencari peluang menabur kebaikan dan ini, kata Dr Nazirudin, mencerminkan hati Allahyarham yang bersih, dan keperibadiannya yang sangat murni.
Beliau menambah bahawa sikap Allahyarham boleh menjadi suatu yang dicontohi masyarakat.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Al-Ansar di Bedok North petang semalam dan selamat dikebumikan di Pusara Abadi.
Laporan tambahan SHAHIDA SARHID


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg