KEWUJUDAN Singapura perlu dipertahankan, sedang ia menentang pandemik Covid-19, dan ia perlu menggunakan rizab untuk menjaga rakyatnya, kata Presiden Halimah Yacob. Rizab negara hanya boleh digunakan dalam 'keadaan amat luar biasa' dan pandemik Covid-19 ini memenuhi definisi ini, kata Puan Halimah, dalam wawancara dengan wartawan melalui video pada Jumaat (22 Mei). Menjawab soalan sama ada beliau prihatin rizab digunakan untuk menyokong langkah sokongan Covid-19, Puan Halimah berkata rizab perlu digunakan untuk memastikan Singapura boleh menjaga rakyat dari segi kesihatan dan keselamatan dan mata pencarian, lapor The Straits Times (ST). Pada Mac dan April, Puan Halimah memberi kebenaran bagi sekitar $21 bilion diambil dari rizab untuk menampung pakej sokongan pemerintah bagi perniagaan dan pekerja yang terjejas akibat pandemik ini. Tiga pakej yang diumumkan bernilai sekitar $63.7 bilion. Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, pada Selasa (26 Mei) akan menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen untuk memberi perincian mengenai langkah sokongan bagi pekerja dan perniagaan yang tidak dapat menyambung semula kegiatan mereka selepas tempoh pemutus litar berakhir pada 1 Jun. Pakej sokongan baru ini mungkin perlu mengambil wang dari rizab, lapor ST.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg