Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan mengadakan pengumpulan dana secara dalam talian mulai Isnin hingga 15 Oktober demi membantu masyarakat yang terjejas bencana banjir di Libya.
Pengumpulan dana itu, yang dianjurkan bersama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), bertujuan membantu masyarakat tersebut dalam memenuhi permintaan mendesak pasca bencana itu.
Ini termasuk penyediaan khemah dan keperluan asas, bekalan dan peralatan perubatan serta sokongan psikologi.
Orang ramai boleh menderma menerusi kaedah digital laman giving.sg, PayNow, pemindahan wang menerusi bank, atau mengirim cek kepada RLAF atau Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Semua dana dikumpul akan disalurkan melalui UNHCR yang telah beroperasi di Libya sejak 1991 untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas, kata RLAF.
Yayasan itu dalam kenyataannya pada Isnin berkata: “Kami sangat bersimpati terhadap mangsa bencana kemanusiaan ini dan keluarga mereka.”
Pada 10 September 2023, Libya ditimpa taufan tropika Daniel, yang menyebabkan cuaca buruk, termasuk angin kencang dan hujan lebat secara tiba-tiba di beberapa kawasan timur laut negara itu.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bencana tersebut telah mengorbankan lebih 4,000 orang dengan lebih 8,500 orang masih hilang.
“Angka ini dijangka bertambah. Antara 30,000 dengan 35,000 orang turut kehilangan tempat tinggal akibat bencana tersebut dan mereka kini berteduh di kem dan petempatan yang terlalu sesak di mana akses kepada air bersih dan sanitasi terhad,” kata RLAF lagi.
Butiran untuk menderma adalah seperti berikut:
RLAF berkata sejajar peraturan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras), derma tersebut tidak akan menawarkan pampasan cukai kerana ia adalah bagi “tujuan amal luar negara”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg